Berita

Azizulhasni, Shah Firdaus dijangka terima vaksin Jun depan

AZIZULHASNI menggunakan jentera WX-R Vorteq ketika Kejohanan Dunia di Berlin, Jerman baru-baru ini.
- Diterbit 22 Februari 2021 11:55 AM MYT

DUA pelumba elit berbasikal trek negara Mohd Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom, dijangka menerima suntikan vaksin COVID-19 setibanya mereka di tanah air dari Melbourne, Australia, pada Jun depan.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Abu Samah Wahab berkata, suntikan tersebut perlu dilaksanakan segera sejurus kedua-dua pelumba berkenaan tiba di Malaysia, sebelum mereka berlepas ke Tokyo bagi menyertai Sukan Olimpik, Julai ini.

Beliau berkata kedua-dua jaguh berbasikal negara itu merupakan antara 35 pelumba yang disenaraikan PKBM, untuk menerima suntikan vaksin tersebut.

“(Bagaimanapun) kami akan menunggu makluman daripada Majlis Sukan Negara mengenai bila kedua-dua pelumba ini diberikan suntikan vaksin,” katanya kepada Bernama hari ini.

Mohd Azizulhasni dan Muhammad Shah Firdaus kini berada di Melbourne menjalani latihan menjelang Sukan Olimpik Tokyo.

Mengulas lanjut, Abu Samah berkata kesemua 35 pelumba basikal negara itu adalah sebahagian daripada 4,000 atlet dan pegawai sukan, yang diberi keutamaan menerima vaksin COVID-19 seperti diumumkan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Sabtu lepas.

Dalam pada itu, beliau berkata Mohd Azizulhasni dan Muhammad Shah Firdaus dijangka berlepas ke Tokyo, lima hari sebelum acara basikal pada temasya sukan berprestij dunia itu membuka tirai pada 2 Ogos depan.

Sementara itu, Abu Samah kagum dengan prestasi memberangsangkan dipamerkan kedua-dua pelumba itu, yang meraih penamat 1-2 acara pecut di Kejohanan Berbasikal Trek Elit Victoria, Australia pada Ahad.

“Kita harap mereka dapat kekalkan momentum ini sehinggalah pada Sukan Olimpik Tokyo kelak.

“Saya percaya ketua jurulatih berbasikal trek negara John Beasley mempunyai ramuan terbaik bagi menyiapkan kedua-dua mereka ini, khususnya Azizulhasni untuk meraih pingat emas pertama negara pada Sukan Olimpik kali ini,” katanya.

Sukan Olimpik Tokyo akan berlangsung dari 23 Julai hingga 8 Ogos depan. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas