“PERJALANAN selepas Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) 2022 adalah permulaan kepada kehidupan,” demikian antara pesanan yang disampaikan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kepada pelajar-pelajar lepasan SPM 2022.
Beliau turut menekankan setiap pelajar perlu berazam untuk mencapai tahap yang tertinggi terutama dalam pendidikan.
“Ini adalah permulaan. Lulus SPM adalah kesinambungan kepada hidup kita dan anak-anak jangan berhenti untuk dapatkan yang terbaik di dunia dan akhirat.
“Anak-anak juga merupakan modal insan di mana sesebuah negara tidak akan maju sekiranya modal insan kita tidak kuat.
“Saya juga mengharapkan generasi yang membaca ini boleh menilai seterusnya dapat menentukan mana perkara baik atau buruk,” kata beliau ketika menyempurnakan Majlis Sumbangan Murid Cemerlang SPM 2022 dan Program Bantuan Khas Murid di Dewan Utama SMK Orkid Desa pada Rabu.
Tambah beliau, penganjuran majlis ini merupakan satu inisiatif pejabat Parlimen Bandar Tun Razak bagi meraikan pelajar cemerlang dalam SPM 2022 dan menyantuni golongan asnaf khususnya dalam kalangan murid-murid di sekolah sekitar parlimen Bandar Tun Razak.
“Kita mengharapkan dengan penghargaan ini dapat menyuntik semangat kepada para murid cemerlang SPM 2022 untuk terus berjaya dalam pelajaran dan dapat membantu meringankan beban keluarga,” ujar beliau.

Sementara itu, salah seorang pelajar cemerlang dari Sekolah Menengah Sains Alam Shah, Ameerul Afiq Azizi, 18, melahirkan rasa syukur di atas sumbangan yang diterima.
“Alhamdulillah, saya rasa segala usaha penat lelah yang dilalui dihargai dan diharapkan insentif seperti ini diteruskan oleh pihak kerajaan bagi memberi lebih galakan kepada pelajar-pelajar SPM lain.
“Saya juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada parlimen Bandar Tun Razak khususnya Datuk Seri atas inisiatif yang diberikan dan semoga dapat menjadi pembakar semangat kepada calon-calon SPM tahun seterusnya untuk mencapai kejayaan yang cemerlang,” katanya yang memperoleh keputusan 9A+ pada SPM 2022.
Terdahulu, kira-kira 1,000 orang pelajar cemerlang SPM 2022 dan asnaf dari 14 buah sekolah sekitar Parlimen Bandar Tun Razak menerima sumbangan wang tunai dan Yayasan Bank Rakyat merupakan penyumbang utama berjumlah RM100,000.
Hadir sama Ketua Pegawai Operasi Yayasan Bank Rakyat, Mohd Mukhti Abd Rahman dan Pengarah Pendidikan Jabatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Norhayati Ab Wahab. -WILAYAHKU