Berita

Azam Baki sedia jumpa Loke berhubung aduan salah laku tidak diendah

- Diterbit 11 Mei 2023 8:45 AM MYT

KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki akan berjumpa dengan Menteri Pengangkutan Anthony Loke bagi memberi penjelasan berhubung laporan salah laku kakitangan agensi di bawah Kementerian Pengangkutan (MOT) yang tidak diendahkan.

“Kita bersedia beri kerjasama selain telah menyediakan penjelasan terperinci berhubung isu berkenaan,” kata Azam yang akan membuat temu janji dalam masa terdekat bagi mengadakan pertemuan dengan Loke.

Sebelum ini, Azam dilaporkan berkata ada antara agensi kerajaan tidak mengendahkan laporan salah laku membabitkan kakitangan mereka walaupun SPRM telah mengesyorkan supaya tindakan diambil.

Laporan itu mengatakan sebanyak 553 laporan salah laku yang sebahagiannya dikemukakan 12 tahun lalu masih belum diambil tindakan oleh ketua jabatan dengan laporan tertinggi membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) iaitu sebanyak 125 laporan diikuti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Azam yang ditemui media pada Majlis Rumah Terbuka Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof di Sri Satria di sini hari ini berkata lebih 500 laporan itu adalah statistik aduan berkaitan salah laku yang dikeluarkan namun tidak diambil tindakan serius oleh kebanyakan jabatan.

Loke sebelum ini dilaporkan berkata beliau akan berjumpa Azam bagi mendapatkan penjelasan berhubung laporan tersebut serta menegaskan bahawa beliau memandang serius isu tersebut dan tidak  akan berkompromi tentang salah laku sama ada di kementerian, jabatan atau agensi. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas