Australia: Vaksin COVID-19 bakal diberi percuma menjelang tahun depan

Australia: Vaksin COVID-19 bakal diberi percuma menjelang tahun depan

RAKYAT Australia dijangka boleh mendapatkan vaksin COVID-19 menjelang awal tahun depan, lapor agensi berita Sputnik, memetik Perdana Menteri Scott Morrison.

“Penduduk Australia akan diberikan vaksin COVID-19 secara percuma pada 2021 jika percubaan berjaya,” kata Morrison dalam satu kenyataan pada Isnin.

Kerajaan Australia sudah mencapai perjanjian pembekalan dan pengeluaran bernilai AUD1.7 bilion dengan syarikat farmaseutikal, yang akan memastikan vaksin percuma tersedia sepanjang 2021.

“Berdasarkan perjanjian itu, Universiti Oxford/AstraZeneca dan Universiti Queensland/CSL akan menyediakan lebih 84.8 juta dos vaksin untuk penduduk Australia, hampir keseluruhannya dihasilkan di Melbourne, sebagai permulaan 3.8 juta dos vaksin oleh Universiti Oxford pada Januari dan Februari 2021,” kata kenyataan itu.

Namun, Morrison menegaskan tiada jaminan vaksin itu terbukti berjaya.

Australia mempunyai lebih 26,200 kes COVID-19 yang disahkan dengan lebih 750 kematian. Lebih 22,400 orang pulih. Negeri Victoria yang paling teruk diancam mempunyai lebih 19,500 kes disahkan.

Pada Isnin, Victoria melaporkan 41 kes baharu, kenaikan terendah dalam sehari dicatatkan negeri ini sejak akhir bulan Jun (41 kes baharu dilaporkan pada 27 Jun).

Perdana Menteri Victoria Dan Andrews pada Ahad berkata langkah-langkah sekatan akan dilonggarkan di negeri ini mulai 13 September. РBERNAMA

CATEGORIES