Berita

Asnaf di Putrajaya dapat baucer tunai, kad belanja AEON

ANNUAR menunjukkan baucer tunai bernilai RM50 setiap satu untuk diedarkan kepada golongan asnaf di Putrajaya.
- Diterbit 20 Mei 2020 9:55 AM MYT

PUTRAJAYA – Kementerian Wilayah Persekutuan melalui Perbadanan Putrajaya  akan mengedarkan baucer tunai dan kad belanja yang keseluruhannya bernilai RM70,000 untuk diedarkan kepada golongan asnaf di sini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa berkata, golongan tersebut juga akan diberikan kad belanja bagi membolehkan mereka membeli barangan keperluan di pusat beli belah  AEON.

“Baucer tunai RM50 akan diberikan kepada mereka yang benar-benar layak dan miskin selain kad belanja AEON,” katanya dalam sesi Live Facebook hari ini.

Seramai 700 orang asnaf terdiri golongan B40 dan orang kurang upaya (OKU) bakal mendapat baucer bernilai RM100 setiap seorang. Data asnaf tersebut diperoleh daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP),  Perbadanan Putrajaya dan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP).

Sementara itu, dalam satu kenyatannya, Annuar berkata, program bantuan dan sumbangan bersempena bulan Ramadan itu merupakan sebahagian daripada Inisiatif Wilayah Cakna susulan
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan agihan dilakukan melalui kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Putrajaya.

Dalam pada itu, beliau menyatakan, menerusi program i-Hya Ramadan dengan kerjasama Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) pula, PPj memperuntukkan sebanyak RM60,000.00 bagi penyediaan 6,000 pek juadah berbuka puasa kepada warga Putrajaya dan petugas barisan hadapan.

“Pengagihan dibuat menerusi enam sub zon MPP Putrajaya secara bergilir bermula dari 17 hingga 22 Mei 2020 dengan setiap sub zon menerima sebanyak 1,000 pek juadah makanan,” katanya.

Di samping itu, beliau berkata, PPj turut menyediakan sebanyak 4,000 pek bubur lambuk percuma kepada warga Putrajaya yang disajikan khas oleh Pusat Persidangan dan Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dengan peruntukan sebanyak RM20,000.00.

Pengagihan dibuat secara berperingkat iaitu pada 5, 13 dan 20 Mei 2020 menerusi tujuh buah kaunter edaran yang disediakan oleh PPj berhampiran kawasan kejiranan komuniti iaitu di Kiosk D’Harmoni Presint 9, Kiosk@11 Presint 11, Kiosk D’Belian Presint 14 serta Medan Selera Presint 8, 9, 11 dan 16.  – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas