Selebriti

“Artis yang hiasi cover bumper raya, dialah paling meletup” – Che Ta

Fazli
- Diterbit 3 Mei 2022 11:30 AM MYT

RAMAI netizen memuji usaha pelakon popular Rozita Che Wan yang mengadakan sesi fotografi bertemakan songket tajaan @azie_couture bersama teman baiknya termasuk pereka fesyen Man Kajang.

Rozita Che Wan atau lebih mesra disapa Che Ta mengadakan sesi fotografi tersebut bersama teman-teman rapatnya bersempena Hari Raya Aidilfitri.

LETUP! Che Ta bersama teman-teman rapatnya Man Kajang, Fazli, Afeeq, Pakcik Airil dan Jaydee, menghiasi muka depan ‘Media Chinggggg’ edisi Aidilfitri.

Entri Instagramnya (IG) mengimbas kembali muka depan edisi bumper raya majalah hiburan suatu ketika itu dulu mencuri perhatian pengikut IGnya selain netizen.

Kata Che Ta, idea berkenaan dicetuskan salah seorang teman baik temannya iaitu Pakcik Airil Azrie yang juga pemilik syarikat fotografi terkenal, Blackpepper Production.

“Dulu masa zaman majalah hiburan mendominasi pasaran, edisi bumper raya sentiasa mencuri perhatian. Termasuklah majalah Media Hiburan dan URTV.

“Kalau tak beli, memang tak sah. Pembaca setia pun akan pastikan koleksi bumper raya wajib dibeli saban tahun. Saya tak terkecuali. Malah sempat memenuhi undangan teman wartawan tersayang untuk sesi fotografi isu berkenaan.

“Ibarat mana-mana artis yang berpeluang menghiasi cover atau muka depan bumper raya itu, dialah yang paling meletup di zaman berkenaan. Saya bersyukur sempat merasai momen itu. Sekarang apabila kuasa digital beraja, momen sebegitu tinggal kenangan,” katanya.

CHE Ta bersama teman baiknya Jaydee dan Afeeq ketika sesi fotografi Aidilfitri untuk Media Chinggggg’.

Tambah Che Ta, dia dan teman baiknya mengadakan sesi fotografi edisi raya itu beberapa hari sebelum Ramadan berlabuh.

“Mereka ini antara teman akrab saya termasuk Jaydee, Afeeq dan Fazli. Kami namakan geng ini sebagai Kachingg. Malah kami juga anjurkan main kutu sejak beberapa tahun lalu.

“Cuma ketika sesi fotografi muka depan majalah ‘Media Chingg’ ini dilakukan, salah seorang teman kami, Reni Diana Sulaiman tak dapat ‘join’ kerana sibuk dengan kerja amalnya dengan memasak,” katanya yang pulang beraya ke Alor Setar pada malam raya ‘mengejut’.

Lebih istimewa, Che Ta juga teruja rumah banglonya siap beberapa hari sebelum Ramadan berlabuh.

“Selepas empat tahun termasuk COVID-19, pengubahsuaian rumah itu tergendala untuk disiapkan. Penantian itu bernoktah dan dapat masuk rumah akhirnya.

“Cuma kerana sudah merancang awal balik beraya ke Kedah, jadi nak raya di rumah sendiri selepas itulah. Saya pun pindahkan barang dari rumah lama ke kediaman baharu sedikit demi sedikit. Lepas beraya nanti mulalah ‘all out’ pindahkan barang,” katanya.

Tentang kerjaya, Che Ta muncul dengan drama Mem & Bibik -Bibik di TV3 menerusi slot Azalea sejak 4 April lalu dan Kerana Dia Suka

Drama komedi 20 episod arahan Wan Saiful Shahrizan itu turut dibintangi suaminya, Zain Saidin. Tak ketinggalan pelakon lain seperti Nabila Razali, Azza Elite, Aprena Manrose, Bell Ngasri, Lynnda Sharudin, Shakila Khoriri dan ramai lagi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas