Berita

Art Fazil, Baba Andy dan Imuda bergabung dalam Jam!

Imuda dan Andy Flop Poppy bergabung dalam lagu Jam! iaitu kisah kesesakan jalan raya
- Diterbit 12 Mac 2021 7:46 AM MYT

WOW! Single terbaru yang bertajuk Jam! Ini merupakan karya ketiga gabungan Art Fazil dan Imuda. Menarikya untuk kali ini mereka disertai oleh Baba Andy (Andy Flop Poppy) sebagai vokalis dan pemain bass. Para pendengar kali ini dibawa kembali ke sudut muzik blues gaya ‘old school’- lama.

Tajuk lagu ini iaitu Jam! sememangnya sudah jelas memberi gambaran tentang senikata lagu ini iaitu keluhan tentang kesesakan jalan raya yang sering menghantui penduduk kota.

Menurut Art Fazil, idea untuk merakam lagu ini sudah lama berputik dan direncanakan, sejurus selepas keluarnya lagu ‘Rilek Brader’ dan ‘Orang Baik Baik’ pada tahun 2013 dan 2015.

Dengan rentaknya yang bersahaja serta melodi dan senikata yang ‘catchy’-mudah diikuti, ia diharap akan menghiburkan serta memikat hati peminat muzik.

“Lagu ini terilham dari pengamatan saya tentang keadaan hidup di kota metropolitan Kuala Lumpur. Idea lagu ini juga saya ambil dari perbualan harian teman-teman warga kota yang sering mengeluh tentang keadaan trafik terutama di waktu pagi dan menjelang malam.

“Misalnya mereka yang harus memandu ke tempat kerja dan tersangkut di lebuhraya kerana padat dengan kenderaan, yang harus hantar anak pergi sekolah, dan juga di waktu waktu cuti umum di kala musim perayaan,” ujar Art Fazil tentang awal penghasilan lagu ini.

Faktor persahabatan dan senang bekerjasama membuatkan Art memilih dua temannya untuk bekerjasama. Persahabatan panjang akhirnya menyatukan mereka dalam sebuah single yang diharapkan dapat memenuhi citarasa pendengar.

“Saya memilih mereka berdua kerana mereka adalah dua artis yang ada “cool factor” dan “street cred”. Imuda terkenal dengan identiti sebagai seorang pelukis,pemain muzik Blues dan pelawak.

”Andy pula memang masyhur dengan band indie Flop Poppy dan dia adalah seorang pemuzik multi-instrumentalist. Bass dalam lagu ini dimainkan oleh Andy dan harmonika oleh Imuda.

“Selain dari faktor itu, mereka juga adalah teman baik saya. Imuda dengan saya mula akrab apabila kami merakam lagu Rilek Brader pada tahun 2013. Kami amat terperanjat apabila lagu itu mendapat lebih dari 1 juta views di Youtube pada waktu yang singkat.

“Andy pula saya pernah bersama dengannya di London pada tahun 2004 ketika saya menetap di London dan Andy datang bersama krew untuk membuat dokumentari.

“ tahun sebelum ini, saya mula bekerjasama dalam projek Caravan of Praise bersama Andy dan kami sering membuat persembahan lagu-lagu berunsur selawat. Saya juga merakam sebuah lagu selawat berjudul ‘Kerana Mu (Ya Nabi Salam Alaika)’ bersama Caravan of Praise pada tahun 2018, “ tambah Art Fazil.

Manakala Baba Andy yang merupakan vokalis Flop Poppy pula menyatakan dia tertarik dengan lagu Blues dan Rock & Roll namun yang paling penting adalah kerana kerjasama bersama Art Fazil dan Imuda. Kedua-dua sahabat itu dianggap sebagai lagenda buat dirinya. Baba Andy juga menganggap lagu ini membuatkan dirinya keluar dari zon selesa.

Buat imuda pula, lagu JAM! Ini memenuhi dan kena dengan citarasa blues-nya. Sudah beberapa kali bekerjasama, Imuda menganggap kolaborasi ini relaks sahaja tanpa masalah.

Video muzik lagu ini menonjolkan Art Fazil, Baba Andy dan Imuda mempersembahkan lagu Jam! secara santai di belakang sebuah pacuan empat roda yang mengelilingi Kuala Lumpur dalam ketika waktu kesesakan lalu lintas.

Penggambaran babak persembahan di belakang kenderaan ini ternyata mendapat sambutan para pengguna jalan raya yang lain dengan adanya ramai orang memberi isyarat tangan, melambai dan merakamkan foto dan video. Video Muzik ini boleh ditonton di YouTube Moro Records.

ART Fazil, Imuda dan Andy Flop Poppy bergabung dalam lagu Jam! iaitu kisah kesesakan jalan raya

Imuda dan Andy kedua-duanya berkongsi pengalaman sewaktu penggambaran muzik video dilakukan.
“Masa penggambaran muzik video Jam! memang betul-betul ada ‘jam’. Satu hari suntuk kita menyanyi dan merasai lagu Jam! dalam kesesakan bersama-sama.Dengan selambanya kita duduk di belakang kereta tu keliling satu bandaraya Kuala Lumpur. Seronok orang tengok kita, ada yang ekori kita lagi, semua orang tengok tapi kita buat muka tebal,” Imuda berkongsi cerita.

“Seronok sangat masa penggambaran video, naik trak pick up seharian keliling KL mencari suasana kesesakan. Tak pernah-pernah mencari jam, tapi hari tu kita cari jam.

“Bila berhenti dalam kesesakan, siap ada orang buat permintaan lagu lagi. Tiada sesaat pun yang kita rasa tertekan dalam pembikinan lagu ini, dari rakaman lagu sehinggalah ke penggambaran muzik video,” tambah Andy menggambarkan suasana penggambaran muzik video

Jangan lupa tonton video muzik lagu Jam! Di saluran youtube https://www.youtube.com/watch?v=zSX-3hPz9_Q . – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas