Berita

APM guna TracVirus permudah pantau kemasukan individu ke Malaysia

- Diterbit 21 Februari 2021 3:24 PM MYT

ANGKATAN Pertahanan Awam Malaysia (APM) akan menggunakan aplikasi TracVirus untuk mendapatkan data bagi memantau semua individu yang memasuki negara ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Khas Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.

Beliau berkata penggunaan aplikasi yang dibangunkan syarikat tempatan, Tri-G Technologies Sdn Bhd itu juga akan mempercepatkan proses kemasukan pelawat yang sebelum ini perlu mengisi borang secara manual termasuk maklumat kesihatan seperti keputusan saringan COVID-19.

Katanya aplikasi itu akan melalui tempoh percubaan selama dua minggu bermula esok di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi melihat keberkesanannya sebelum diperluaskan ke pintu-pintu masuk lain ke Malaysia, sekali gus menggalakkan gelembung perjalanan.

“Sistem ini boleh menjejaki kedudukan (individu) secara live (langsung) mengikut masa sebenar, berbeza dengan aplikasi MySejahtera yang menunjukkan sejarah perjalanan terakhir seseorang,” katanya selepas meninjau operasi keselamatan APM di KLIA, di sini hari ini.

Mohd Redzuan berkata beliau juga telah berbincang dengan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba mengenai perkara itu terutamanya aspek perkongsian data bagi memudahkan tugas APM.

Katanya aplikasi itu boleh dimuat turun di Google Play Store dan App Store serta boleh digunakan dalam lapan bahasa iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Mandarin, Thailand, Korea, Jepun, Indonesia dan Arab.

Mengenai operasi APM di KLIA, Mohd Redzuan berkata pasukan itu menempatkan seramai 44 petugas setiap hari yang antara lain berperanan memberi penerangan kepada pelawat mengenai proses kemasukan di pintu masuk utama negara. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas