Berita

Polis selamat wanita warga asing mangsa eksploitasi seks

PDRM's logo (photo for archive )
- Diterbit 21 Februari 2021 3:12 PM MYT

BERTINDAK atas maklumat penawaran khidmat seks dalam talian menggunakan aplikasi Locanto, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 49 tahun di hadapan sebuah hotel terkemuka di Petaling Jaya, semalam kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pelacuran.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata berikutan penahanan lelaki berkenaan, polis turut berjaya menyelamatkan seorang wanita warga asing berusia 27 tahun, yang disyaki menjadi mangsa exploitasi seks.

Menurut Nik Ezanee suspek berkenaan berperanan sebagai ‘transporter’ kepada mangsa, dan mengaku berperanan mengurus dan menghantar wanita berkenaan bertemu pelanggan untuk dijadikan pelacur.

“Siasatan awal mendapati suspek mengaku bekerja dengan seorang lelaki lain dikenali sebagai ‘Kenny’ selama dua bulan, dan menerima upah sebanyak RM1,600 sebulan.

“Mangsa (wanita warga asing) juga turut mengaku bekerja sebagai pelacur, dengan menawarkan perkhidmatan seks sebanyak RM320 (setiap pelanggan) serta baru sahaja bekerja selama kira-kira tiga minggu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nik Ezanee berkata, turut dirampas daripada suspek adalah tiga unit telefon bimbit pelbagai jenama, sebuah kereta jenis Nissan Latio dan wang tunai berjumlah RM415.

“Suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini, manakala mangsa pula ditempatkan di Rumah Perlindungan Kuala Lumpur bagi siasatan lanjut,” katanya.

Nik Ezanee berkata kes disiasat di bawah Seksyen 12 dan 21 Akta Antipemerdagangan Orang dan AntiPenyeludupan Migran 2007. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas