Berita

Apam balik ‘lejen’ jadi buruan di Labuan

PENGALAMAN dalam membuat apam balik menjadikan kuih Aminah lazat.
- Diterbit 29 Mei 2022 1:00 AM MYT

TIADA istilah ‘goyang kaki’ dalam hidup Aminah Ali, 57, sejak 30 tahun lalu. Malah dia rela bersusah payah bersama suami tercinta, Lakarudin Intang, 57, mencari rezeki untuk kelangsungan hidup.

Namun wanita ini amat bertuah kerana dikurniakan bakat dalam membuat kuih muih tradisional. Buktinya, dia sering tidak menang tangan menerima tempahan kuih apam balik atau lebih dikenali sebagai kuih terang bulan dalam kalangan penduduk di Labuan.

Bercerita lanjut tentang jualannya, Aminah berkata, lebih 30 tahun lalu, dia dan suaminya berniaga kuih pau di sekitar Labuan sebelum mengambil keputusan untuk menjual kuih apam balik.

GERAI bernombor D10 ini turut menjual air balang dan air tin.

“Saya berniaga apam balik dah lama sejak tahun 1993 lagi. Bagi saya kuih ini memiliki keistimewaannya yang tersendiri yang mana hanya bancuhan yang betul tepat sahaja menjadikannya sedap.

“Dalam tempoh lebih tiga dekad itu juga saya dan suami banyak belajar tentang kuih ini. Kiranya kami sentiasa menggali ilmu untuk menjadikannya lain daripada lain,” ujarnya yang berniaga di Pasar Sentral Labuan.

Selain daripada bancuhan yang tepat, Aminah berkata keistimewaan apam balik yang dihasilkan terletak pada bahan-bahan yang berkualiti tinggi seperti tepung, gula dan sebagainya.

AMINAH turut dibantu anak lelakinya.

“Kata orang, kalau bahan mahal kuih pun sedap. Saya tak nafikan kerana bagi saya ada betulnya juga. Ini kerana untuk mendapatkan bahan yang terbaik sudah tentulah perlu dibayar dengan harga yang tinggi,” ujarnya kepada Wilayahku.

Katanya lagi, dia tidak kisah untuk membelanjakan wang untuk bahan yang premium demi memastikan para pelanggannya berpuas hati dan datang semula untuk menikmati keenakan kuih apam balik yang dihasilkan.

“Selain berkualiti, bahan yang digunakan perlulah baharu dan segar. Kacang misalnya mestilah digoreng hari-hari agar tidak berbau tengik selain adunan dimasak tanpa menggunakan minyak.

KUIH apam balik yang siap dimasak.

 

ISI yang penuh dan enak.

“Setiap hari saya akan menyediakan kira-kira dua hingga ke tiga tong adunan tepung yang mampu menghasilkan sebanyak 200 keping kuih apam balik dalam sehari,” ujarnya yang sentiasa memastikan kelazatan kuih sebelum menjualnya.

Keistimewaan apam balik Aminah membuatkan gerainya sering menjadi tumpuan ramai selain turut menerima tempahan untuk majlis-majlis keraian seperti perkahwinan, hari jadi dan sebagainya.

Bukan sahaja dikenali ramai malah kepuasan inti dan kelainan rasa yang dimiliki juga membuatkan pelanggan akan tercari-cari dan juga datang semula untuk membeli juadah berkenaan.

Alhamdulillah sejak kami berniaga dalam tempoh yang saya kira agak lama ini, sambutan daripada pelanggan terhadap kuih apam balik amatlah baik dan kebanyakannya merupakan pelanggan tetap kami,” ujarnya.

Kongsinya lagi, apa yang menggelikan hatinya, kadang-kadang pembeli yang datang ke gerainya juga merupakan anak ataupun cucu kepada pelanggan tetap mereka sejak lebih 30 tahun lalu.

SENTIASA mementingkan kepuasan pelanggan.

Terpaksa naik harga

Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu saat ini selain kenaikan harga barangan mentah, Aminah berkata dia terpaksa menaikkan harga sebanyak RM 1 bagi menampung segala kos yang perlu ditanggung.

“Kalau sebelum ini RM7 tetapi kami tiada pilihan lain kerana kos bahan mentah semakin meningkat. Saya pasti peniaga lain juga seperti kami berat hati untuk menaikkan harga tetapi terpaksa,” ujarnya lagi.

Berkongsi kenangan berniaga pada Ramadan lalu, wanita ini mengakui menerima tempahan dua kali ganda berbanding hari biasa selain tidak putus-putus menerima kunjungan pelanggan.

“Walaupun kami ketika itu tidak berniaga di bazar Ramadan namun itu bukan menjadi halangan untuk pengunjung singgah membeli kuih apam balik di sini,” ujarnya yang disenagi kerana keramahan serta petah berceloteh.

“Ada pelanggan yang mengakui suka mendengar saya berceloteh kerana mereka tidak jemu sementara menunggu apam balik siap dimasak,” ujarnya yang turut dibantu oleh suami dan anak lelakinya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas