Atlet Wilayah

Misi Sukan SEA tercapai

NORA (dua kiri) bersama pasukan wanita di Sukan SEA baru-baru ini. NORA (dua kiri) bersama pasukan wanita di Sukan SEA baru-baru ini.
- Diterbit 29 Mei 2022 2:00 AM MYT

MESKIPUN hanya merangkul pingat perak pada Sukan SEA Hanoi, Vietnam baru-baru ini, namun atlet boling negara, Nora Lyana Nastasia Norkamal, 25, tetap bangga dengan pencapaian pasukannya.

Baginya kehadiran pingat tersebut amat bermakna memandangkan misi utama mereka selaku muka baharu adalah untuk bersaing merebut pingat.

Alhamdulillah di atas peluang dan kepercayaan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk menggalas tanggungjawab tersebut. Misi sudah tercapai dan kami sudah melakukan yang terbaik.

“Apapun ini adalah pengalaman yang bermakna dan saya sangat gembira. Insya-Allah pada edisi 2025, sasaran saya adalah membantu pasukan untuk berada di tempat yang lebih baik.

“Dalam masa yang sama, saya harap acara pada edisi tersebut akan bertambah berbanding pada kali ini selain saya juga dapat menyertai acara individu,” ujar Nora kepada Wilayahku.

Terdahulu, kuartet wanita Nora Lyana Natasha, Nerosha Keligit, Nur Syazwani Sahar dan Gillian Lim Siew Geok mempertahankan pingat perak dengan 4,951 pin.

Menyentuh perkembangan terbaharunya, dia kini sedang mempersiapkan diri untuk sesi pemilihan atlet boling ke Kejohanan Tenpin Boling Asia di Hong Kong pada Disember.

“Saya hanya berehat seminggu dan mula berlatih untuk persediaan tersebut memandangkan ia akan berlangsung beberapa bulan sahaja lagi,” ujarnya.

Baru sahaja menamatkan pengajian pada tahun lalu, Nora berkata, boling merupakan tumpuan utamanya ketika ini dan dia rela mengorbankan masa demi sukan tersebut.

“Saya perlu beri tumpuan sepenuhnya dan dalam tempoh beberapa tahun ini saya akan melakukan yang terbaik untuk memastikan masa depan saya cerah dalam boling,” ujarnya lagi. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas