Artikel

Apabila Madani BerBUDI kepada rakyat

- Diterbit 31 Mei 2024 10:20 AM MYT

Oleh ZULKIFLI SULONG

HAMPIR kesemua bekas Perdana Menteri (PM) Malaysia telah mengisytiharkan bahawa orang paling banyak menikmati subsidi yang disediakan oleh kerajaan adalah orang kaya.

Ini kerana, merekalah yang mempunyai segala kemudahan untuk menikmati subsidi tersebut. Yang paling ketara adalah subsidi tenaga elektrik, diesel dan juga petrol.

Ketika si miskin dan golongan pertengahan hanya memiliki sebuah motosikal hingga ke kereta di bawah 1500 cc, golongan mahakaya mempunyai lima hingga 10 buah kereta yang diperuntukkan untuk diri dan setiap ahli keluarganya.

Si miskin berkongsi motosikal dan berbelanja RM10 seminggu atau sehingga RM40 sebulan untuk membeli petrol, ahli keluarga si mahakaya pula keluar dengan kereta mewah masing-masing dan menggunakan diesel atau petrol yang disubsidikan oleh kerajaan. Mereka berbelanja RM500 hingga RM1,500 sebulan untuk setiap kenderaan mewah mereka. Bayangkan berapa jumlah belanjanya dan jumlah subsidi yang diberikan kerajaan untuk mereka.

Inilah faktanya yang dipersetujui oleh semua Perdana Menteri Malaysia yang masih hidup hingga kini. Dari PM ke-7 Datuk Seri Najib Razak hinggalah ke PMX, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hampir kesemua PM ini melaksanakan pemotongan subsidi dan cuba untuk membuat subsidi bersasar dan cuba membayar balik pemotongan subsidi ini kepada golongan rentan. Namun apa yang cuba dilakukan PMX yang paling jelas subsidi bersasarnya.

Tidak lama lagi, subsidi diesel akan ditarik balik. Selepas itu, harga subsidi petrol RON95 pula akan tarik balik. Ini bermakna, harga diesel dan RON95 akan melonjak tinggi di pasaran selepas harganya diapungkan tanpa subsidi kerajaan.

Semua pengguna diesel akan berdepan masalah kenaikan harga diesel daripada nelayan yang menggunakan diesel untuk mencari rezeki di laut atau pengguna motosikal Honda kapcai sehinggalah kepada tauke besar syarikat pengangkutan.

Dalam keadaan biasanya, apabila subsidi ditarik, harga barangan berkenaan akan melonjak naik. Yang dibimbangi oleh rakyat kebanyakan pula adalah kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang mempunyai rantaian dengan kedua-duanya, diesel dan petrol.

Inilah yang disedari oleh Kerajaan MADANI pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Maka lahirlah pelbagai pendekatan untuk mengawal kesan negatif kepada golongan yang sepatutnya dilindungi oleh kerajaan ini.

Untuk pelaksanaan penarikan subsidi diesel, kerajaan memperkenalkan apa yang dinamakan sebagai BUDI MADANI. Melalui skim ini, rakyat yang terlibat secara langsung dengan penggunaan diesel akan mendapat bantuan kerajaan secara langsung termasuk bantuan bulanan.

Menurut laman webnya, BUDI MADANI ialah wadah Kerajaan MADANI memastikan peruntukan subsidi disasarkan kepada golongan yang layak. Belanjawan 2024 yang diumumkan komited untuk menyasarkan semula subsidi bahan api bagi mengekang aktiviti penyeludupan dan ketirisan subsidi rakyat.

Bagi memastikan kebajikan majoriti rakyat terus terpelihara, BUDI MADANI diperkenalkan sebagai platform penyasaran semula subsidi hanya kepada yang memerlukan. Kenderaan pengangkutan barangan darat tertentu terus mendapat subsidi bagi mengawal harga barangan, manakala individu terpilih diberikan bantuan tunai bagi membendung kenaikan kos sara hidup.

Ada tiga golongan yang mendapat manfaat iaitu MySubsidi Diesel untuk pengangkutan darat, BUDI Agri-Komoditi untuk petani dan pekebun kecil dan BUDI Individu yang berupa bantuan tunai kepada pemilik kenderaan diesel individu.

Ada yang bertanya, apa bezanya PMX dengan PM sebelum ini. Yang paling ketara hampir kesemua PM melaksanakan dasar menarik balik subsidi tetapi hanya kerajaan di bawah PMX sahaja yang memberikan balik subsidi yang ditarik itu kepada golongan yang terkesan akibat penarikan subsidi ini secara jelas.

Sekarang ia dilakukan melalui Program BUDI MADANI sebagaimana yang disebut di atas.

Sebelum ini, apabila kerajaan ini melaksanakan penarikan subsidi tenaga elektrik, harga elektrik yang digunakan oleh golongan bawah dan pertengahan kekal ketika harga elektrik golongan mahakaya meningkat naik.

Inilah yang dikatakan subsidi bersasar, memberikan bantuan kepada golongan yang memerlukan bantuan. Inilah sebenarnya peranan sebuah kerajaan.

Ini sekadar pandangan penulis, bukan untuk membodek, sekadar memberi pandangan.

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas