Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Agama

PPZ-MAIWP pupuk kesedaran masyarakat Islam dalam tunai zakat

ABDUL HAKIM melalui PPZ-MAIWP giat memupuk kesedaran berzakat dalam kalangan umat Islam
- Diterbit 24 Mei 2024 5:00 PM MYT

KUALA Lumpur merekodkan jumlah kutipan zakat tertinggi manakala Labuan mencatatkan jumlah agihan tertinggi pada tahun 2023,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Datuk Abdul Hakim Amir Osman.

Beliau berkata di antara ketiga-tiga Wilayah Persekutuan (WP) Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, jumlah kutipan zakat di Labuan lebih rendah iaitu 13.5 juta berbanding jumlah agihan zakat iaitu 10 juta.

“Ini kerana, Labuan mempunyai populasi miskin bandar yang lebih ramai dan diklasifikasikan sebagai golongan asnaf dan memerlukan jadi agihannya lebih tinggi berbanding Kuala Lumpur dan Putrajaya. Untuk itu, pada tahun ini kita naikkan kepada 100 juta agihan di Labuan,” ujar beliau.

Mengulas lanjut, beliau berkata PPZ-MAIWP menyasarkan kutipan zakat harta sebanyak RM1.1 bilion bersamaan 245,000 pembayar zakat pada 2024.

“Sasaran itu turut menetapkan kutipan zakat fitrah sebanyak RM15 juta bersamaan 1,690,000 orang dan wakaf tunai berjumlah RM13.5 juta mewakili 26,400 orang pada tahun ini.

“Ia adalah sebahagian daripada perancangan tahunan 2024-2025 yang ditetapkan PPZ-MAIWP selepas berjaya mencapai 74.5 peratus atau 345.755 pembayar zakat yang menunaikan zakat pada tahun 2023.

“Kita masih berpotensi untuk menyeru seramai 25.5 peratus atau 115,273 umat Islam yang masih belum menunaikan zakat di PPZ-MAIWP. Peratusan ini diambil secara kasar, mungkin mereka membayar zakat di tempat lain.

“Ini yang kami kena cari untuk mencapai target RM1.1 bilion kutipan zakat menjelang 2025. Namun perancangan teliti daripada aspek tingkah laku pembayar zakat khususnya perlu difokuskan,” katanya ketika sesi temu bual khas bersama Wilayahku.

Beliau berkata pihaknya terlebih dahulu perlu mengenal pasti jumlah prospek (pembayar zakat) di ketiga-tiga wilayah iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan yang layak membayar zakat.

“Berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Negara (JPN), jumlah penduduk di Wilayah Persekutuan adalah 1.96 juta orang merangkumi umat Islam dan bukan Islam serta lain-lain agama.

“Manakala data pada tahun 2020 memperlihatkan, jumlah penduduk Islam di Wilayah Persekutuan yang menetap dan bekerja dalam lingkungan umur 15 tahun ke atas adalah seramai 697,786 orang.

“Selain itu, potensi jumlah umat Islam yang bekerja dan layak membayar zakat (bergaji dan berpendapatan RM4,000 ke atas) adalah seramai 464,028 orang merangkumi 66.5 peratus. Daripada jumlah inilah, kami jangka ia adalah prospek dan layak untuk membayar zakat,” jelasnya.

Justeru itu, pihaknya kini sedang bekerjasama dengan rakan-rakan strategik meliputi agensi kerajaan dan swasta untuk memupuk kesedaran kepada masyarakat untuk membayar zakat di samping akan terus bekerjasama rapat dengan MAIWP bagi pelaksanaan agihan zakat.

“PPZ-MAIWP memainkan peranan dalam meningkatkan kesedaran dan pengetahuan masyarakat mengenai kewajipan berzakat. Walaupun begitu, kami masih berhadapan dengan pelbagai cabaran terutama untuk mendapat kepercayaan pembayar zakat terhadap institusi zakat,” ujar beliau.

Selain zakat, pihaknya juga diamanahkan untuk mengutip wakaf di mana ia merupakan salah satu faktor pembangunan ekonomi negara melalui sektor antaranya sosial, perumahan/­hartanah, kesihatan, kecemasan dan pendidikan.

“Sumber wakaf itu mampu membantu ramai orang khususnya pelajar sekolah melalui Tabung Wakaf Pendidikan di mana pihaknya sedang mencukupkan dana bagi menyediakan kelengkapan dan peralatan pengajian untuk mereka,” kata beliau.

Bagi mana-mana individu mahupun syarikat yang mahu melakukan wakaf, ia boleh dilaksana di mana-mana kaunter PPZ-MAIWP atau secara dalam talian di wakafppz.com.my serta bayaran zakat juga boleh ditunaikan secara dalam talian melalui laman sesawang www.zakat.com.my atau kunjungi mana-mana 10 kaunter cawangan di sekitar Wilayah Persekutuan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas