Berita

Angka terkini penduduk cecah 20,166, makanan tambahan diusahakan

ANNUAR meninjau bekalan makanan yang disediakan untuk penduduk yang terlibat dengan PKPD di Pasar Borong Selayang.
- Diterbit 27 April 2020 5:58 AM MYT

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mengusahakan tambahan bekalan makanan untuk penduduk di kawasan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di Pasar Borong Kuala Lumpur ekoran angka terkini mencecah 20,166 orang menerima maklumat mengenai penambahan angka warga negara di kawasan itu.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr. Annuar Musa berkata, rakyat  tempatan yang mendiami kawasan itu adalah seramai 6,000 berbanding anggaran awal cuma seramai 1,300 orang.

“Angka terbaru menunjukkan jumlah penduduk terlibat dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) Pasar Borong Kuala Lumpur ialah 20,166 orang.

“Dari jumlah tersebut seramai 6,000 adalah warganegara kita (Malaysia). Kesemua warganegara dibekalkan dengan bahan makanan yang mencukupi, Anggaran asal cuma 1, 300 (orang). Kita usahakan tambahan,” katanya.

Terdahulu, dalam sidang akhbarnya pada 23 April lalu, Annuar memberitahu, kawasan berkenaan mempunyai 3,200 unit kediaman membabitkan seramai 17,000 penduduk.

Beliau turut memberi jaminan kesemua 1,500 unit kediaman warganegara yang didaftarkan mendapat bekalan makanan dan ia telah mula diedarkan bagi pusingan pertama bermula 22 April dan pusingan kedua pada 26 April.

Bekalan makanan itu dikendalikan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas