Berita

Tiada kes jangkitan semula bekas pesakit Covid-19

DR NOOR HISHAM ABDULLAH
- Diterbit 26 April 2020 11:27 AM MYT

UTRAJAYA- Kementerian Kesihatan masih belum mengesan kes jangkitan semula dalam kalangan bekas pesakit Covid-19 di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, bukti bahawa pesakit pulih terlindung daripada jangkitan semula wabak itu juga tidak ada.

“Oleh itu kita minta semua pesakit pulih perlu menjalani sesi kaunseling sebelum dibenarkan pulang bagi memastikan langkah pencegahan dan amalan kebersihan diutamakan untuk mengelak dijangkiti semula.

“Tiada bukti mereka dilindungi daripada jangkitan semula, selain besar kemungkinan keadaan ini boleh berlaku,” katanya pada sidang akhbar harian hari ini.

Sebelum ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa belum ada bukti bahawa seseorang yang telah pulih daripada Covid-19 kebal dan imun dari dijangkiti semula koronavirus.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, pihaknya sudah menjalankan saringan dan pesampelan ke atas 136,941 individu yang dikenal pasti mempunyai kaitan langsung dengan kes positif wabak berkenaan.

Dari jumlah itu, 5,780 sampel atau 4.22 peratus didapati positif.

“Ada lima kluster aktif yang menyebabkan pertambahan kes baharu hari ini, iaitu kluster persidangan gereja di Kuching, Samarahan dan Serian yang mencatat dua kes baharu menjadikan keseluruhan 165 kes.

“Flat Kampung Baru ada pertambahan dua kes menjadikan 36 keseluruhan. Kluster pesantren dan tabligh di madrasah Johor ada pertambahan satu kes menjadikan masing-masing 90 dan 27 kes.

“Hospital Muar juga bertambah satu kes menjadikan keseluruhan 24 kes, manakala kluster lain tiada pertambahan,” katanya.

Berkenaan kluster perhimpunan Masjid Jamek Seri Petaling, Dr Noor Hisham berkata, 30,625 individu yang mempunyai kaitan dengan kontak rapat sudah disaring dan hasilnya 2,130 kes positif dikesan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas