Berita

ANGGUN perlu jadi platform bina usahawan muda

|||
- Diterbit 14 April 2021 3:40 AM MYT

PERTUBUHAN bukan kerajaan (NGO), Kelab Beliawanis Aspirasi ANGGUN Putrajaya (ANGGUN) perlu menjadi penggerak utama masyarakat khususnya wanita muda dalam merebut peluang perniagaan di Putrajaya yang di sediakan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP).

Anggota Pentadbiran Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, selain membantu rakyat yang memerlukan melalui penyerahan sumbangan seperti yang dilakukan, ANGGUN perlu bergerak untuk membantu wanita muda untuk terlibat dalam bidang keusahawanan.

“Produk seperti Wilayah Bebas Berniaga (WBB) dan Program Usahawan Anak Muda Kota yang memberikan kiosk-kiosk perniagaan untuk anak muda di Putrajaya dan Kuala Lumpur dilihat dapat membantu pemerkasaan wanita muda di dalam bidang perniagaan.

“Kita turut mengadakan usaha sama dengan beberapa pihakpenyedia perkhidmatan e-wallet untuk menganjurkan kursus-kursus perniagaan on-line juga boleh dilaksanakan dan ia boleh membantu golongan tersebut untuk meningkatkan ekonomi masing-masing,” katanya kepada Wilayahku pada Ahad.

Menurut Tun Faisal, sebagai ngo ANGGUN perlu menjadi platform yang menggerakkan usaha ke arah menyediakan usahawan anak muda wanita dan menggabungkan mereka di dalam satu platform yang dapat meningkatkan nilai tambah masing-masing dan ia perlu dimanfaatkan sepenuhnya.

“Dari sejarahnya, Putrajaya ini adalah bandar pentadbiran yang baharu diwujudkan dan ia dikelilingi bandar-bandar yang sudah mempunyai usahawan masing-masing.

“Oleh sebab itu, daripada konteks kontraktor kecil yang memegang lesen G1, tidak ramai yang ada lesen daripada Putrajaya disebabkan faktor tersebu,” katanya.

Tambahnya, atas faktor itu juga, pihak PPj mengharapkan usahawan dan kontraktor kecil daripada luar untuk sama-sama membantu membangunkan prasarana melalui projek-projek kecil.

Beliau yang juga Setiausaha Akhbar kepada Menteri Wilayah Persekutuan berkata, sekarang sudah ada usaha untuk mendaftarkan golongan muda agar mereka terlibat dalam program keusahawanan termasuklah sebagai kontraktor kecil kelas G1.

“Ketika Putrajaya sedang dibangunkan, peluang tersebut telah diambil oleh orang luar kerana mereka belum bersedia lebih-lebih lagi kebanyakan penduduk disini adalah penjawat awam. Jadi fokus dan latar belakang mereka bukan perniagaan.

“Keadaan kini mulai berubah dan ada anak muda yang berhijrah ke Putrajaya dan terlibat dalam aktiviti perniagaan termasuk menjadi kontraktor kecil dan ini akan memberikan manfaat yang besar kepada warga Putrajaya sendiri,” katanya.

Tegasnya lagi, peluang ekonomi di Putrajaya sedang dipertingkatkan melalui pelbagai program pembangunan yang diambil melalui inisiatif terbaharu menjadikan Putrajaya sebagai bandar rekreasi.

“Atas sebab itu, anak-anak Putrajaya perlu ambil peluang tersebut seperti di Anjung Floria yang akan dibangunkan Pit Stop dan ANGGUN boleh menjadi penggerak utama bersama PPj.

“Melalui pelbagai projek ekonomi yang sedang bakal dilaksanakan nanti, ia dapat menjana ekonomi penduduk setempat sekaligus meningkatkan taraf kehidupan warga Putrajaya itu sendiri,” katanya. -AZLAN ZAMBRY – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas