Berita

“Terima kasih PU Riz” – Alyah

- Diterbit 15 April 2021 3:36 AM MYT

PENYANYI popular Datin Alyah mengaku senang bekerjasama dengan pendakwah bebas Haris Ismail atau PU Riz, 26, dalam lagu terbaharunya berjudul Thank You Allah.

Menurut Alyah atau nama sebenarnya Noor Hasliah Abu Hasan, 40, PU Riz terbabit dalam lagu berkenaan menerusi monolog dalam Bahasa Melayu dan Arab.

Turut sama ditampilkan di dalam lagu ciptaan Omar K dan Ikhawan Fatanna itu ialah rapper, Cat Farish.

“Dia datang ke rumah bersama pengurus, kami berbincang dan tiga hari selepas itu dia ke studio masukkan vokal.

“Terima kasih dengan kerjasama yang diberikan pihak PU Riz. Perbincangan itu boleh dikatakan mudah dan perancangan itu berjalan dengan lancar meski saya percaya komitmennya terhadap perkara lain juga perlu diutamakan.

“Saya percaya kepada rezeki dan ‘jodoh’. Malah saya rasa untuk lagu ini, suaranya memang sesuai. Itu adalah tuah saya juga bila kami pertama kali lakukan projek ini. Moga ia dapat diterima dengan baik,” katanya yang berpuas hati dengan komitmen PU Riz.

Dalam pada itu, Alyah juga tidak ketinggalan meminta pandangan suaminya, Datuk Ramli MS yang juga pemuzik tersohor negara.

“Kita tidak selalunya sependapat. Misalnya saya menyanyi untuk mengikut cita rasa pendengar ketika ini sementara suami pula lebih kepada soal teknikal. Jadi ada ketikanya kita bercanggah di situ.

“Akan tetapi, pada akhirnya dia sedar ‘itulah’ saya, this is you katanya. Dia ada juga berikan pendapat dan saya sedar pemuzik yang seangkatan dengannya memang ditil terhadap setiap posisi lagu, lenggok dan sebagainya.

“Saya bertuah kerana ‘duduk’ di dalam dua era yang berbeza dan saya sebolehnya cuba adukkan ia dalam lagu-lagu saya,” katanya yang menjangkakan lagu Thank You Allah dilancarkan pada Mei ini.

Penggambaran video muzik Thank You Allah dijalankan di Pulau Langkawi, baru-baru ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas