
Amaran Hujan Berterusan di Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Pahang
AMARAN Hujan Berterusan dijangka berlaku di beberapa kawasan di negeri Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Perak serta Pahang.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam satu kenyataan berkata, Amaran Hujan Berterusan (Buruk) dijangka berlaku sehingga esok di negeri Kelantan di kawasan Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Bachok, Machang dan Pasir Puteh.
“Amaran sama turut dikeluarkan bagi negeri Terengganu di Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Marang,” katanya hari ini.
Sementara itu, tambahnya, Amaran Hujan Berterusan (Waspada) melibatkan beberapa kawasan di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu dan Pahang.
“Hujan berterusan dijangka berlaku di negeri Kedah di Yan, Kuala Muda, Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu; Pulau Pinang; Perak di Kerian, Larut, Matang Dan Selama dan Manjung dalam tempoh esok hingga Khamis.
“Selain itu, hujan berterusan dijangka berlaku bagi negeri Kelantan di Jeli dan Kuala Krai; Terengganu di Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman; dan Pahang di Kuantan sehingga esok,” jelasnya.
Menurut MetMalaysia, Amaran Hujan Berterusan (Bahaya) dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan lebat berterusan dijangka berlaku dengan jumlah hujan melebihi 150 mm dalam tempoh 24 jam.
“Amaran Hujan Berterusan (Buruk) dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan lebat berterusan dijangka berlaku dengan jumlah hujan melebihi 60 mm dalam tempoh enam jam.
“Amaran Hujan Berterusan (Waspada) dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan atau ribut petir sedang atau dijangka berlaku melebihi enam jam dalam tempoh tersebut di sesuatu kawasan,” ujarnya. – WILAYAHKU