
Dua premis hiburan ditutup di Kuala Lumpur
DUA buah premis hiburan dikenakan tindakan penutupan serta-merta dalam Operasi Tindakan Khas Premis Berisiko (Aktiviti Pusat Hiburan).
Operasi yang dijalankan oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi Jabatan Penguatkuasaan itu melibatkan pusat hiburan di Jalan Kia Peng, Jalan Sultan Ismail, Jalan Tun Razak, Jalan Chow Sow Lin, Bandar Manjalara dan Solaris Dutamas Kuala Lumpur.
Menurut DBKL, hasil serbuan dan pemeriksaan pegawai penguatkuasa DBKL di lapan buah premis perniagaan kedai makanan, restoran dan pub berkenaan mendapati premis-premis tersebut turut mengadakan aktiviti hiburan melibatkan persembahan live muzik, nyanyian karaoke atau DJ Muzik tanpa kebenaran dan kelulusan pihak berkuasa.
“Tindakan penutupan serta-merta terhadap dua buah pentas hiburan di bawah Seksyen 17, Akta Hiburan 1992 termasuk membuka enam kertas siasatan (IP) di bawah Seksyen 4(1)(a) dan 4(1)(b) kerana mengadakan aktiviti hiburan (live muzik/DJ) tanpa kebenaran dan mengeluarkan empat notis kompaun kerana Melantik Pembantu Tanpa Kebenaran dan satu notis kompaun kerana Premis Tiada Lesen Beroperasi di bawah UUK 3(1) Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016,” katanya menerusi satu hantaran di laman rasmi Facebook DBKL.

ANTARA barangan yang dirampas dalam Operasi Tindakan Khas Premis Berisiko (Aktiviti Pusat Hiburan) oleh DBKL baru-baru ini.
Tambahnya operasi bermula pukul 10 malam pada 17 November 2023 dan berkahir pada pukul 2.30 pagi (18 November).
“15 pelbagai peralatan muzik disita termasuk melibatkan penutupan dua buah premis berkenaan dan barangan sitaan terdiri daripada mixer light controller, microphone, headphone, DJ Spinner, speaker, amplifier dan lain-lain.
“Barangan dan peralatan muzik telah dihantar ke Setor Sitaan DBKL di Jalan Lombong Taman Miharja, Cheras bagi tujuan rekod dan penyimpanan sementara,” ujarnya.
Dalam pada itu, DBKL menegaskan tindakan penguatkuasaan ini akan diteruskan dari semasa ke semasa di lokasi tumpuan yang lain sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. – WILAYAHKU