Berita

ALI PUTEH Tak Pernah Halang Proses Faraid

ALI Puteh menyambut baik keputusan mahkamah
- Diterbit 10 September 2020 5:47 AM MYT

PELAWAK Ali Puteh menyambut baik keputusan Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam yang menetapkan faraid Allahyarham abangnya yang juga pelawak Abam Bocey mengikut hukum syarak. 

Ali atau nama sebenarnya Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan, 32, berkata ibunya iaitu Sabariah Arshad gagal menghadiri prosiding yang berlangsung pada hari ini disebabkan keadaannya yang berkerusi roda. 

Selain itu, dia juga tidak dapat hadir ke mahkamah memandangkan isterinya yang sedang sarat mengandung perlu menjalani pemeriksaan doktor pada waktu yang sama. 

“Alhamdulillah… saya pun baru baca laporan media berhubung perkara itu. bagi saya, itu yang paling baik bila dah jadi begini. 

“Baguslah, benda itu (harta peninggalan Abam) memang perlu difaraidkan. 

“Saya tak hadir (ke Mahkamah) kerana  bawa isteri membuat pemeriksaan doktor.

“Dia nak bersalin dan lagi pun prosiding itu tiada kaitan dengan saya. Ibu saya kan pakai kerusi roda… macam mana nak datang,” kata Ali kepada Wilayahku.

Ali juga menjelaskan yang dia dan keluarga tidak pernah menghalang proses faraid ini kerana itu semua sudah ditetapkan oleh Islam.

“Saya sedar orang akan beranggapan saya serta keluarga mengahalang proses tersebut.

“Sedangkan dalam sidang media sebelum ini, saya pernah cakap semuanya perlu mengikut faraid,” katanya lagi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas