Berita

Agong bercemar duli kurnia Rumah Wilayah Prihatin

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berkenan menyampaikan replika kunci kepasa Shafi Busu pada Majlis Penyerahan Rumah Prihatin di Dewan Komuniti PPR Kampung Muhibbah hari ini. Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berkenan menyampaikan replika kunci kepasa Shafi Busu pada Majlis Penyerahan Rumah Prihatin di Dewan Komuniti PPR Kampung Muhibbah hari ini.
- Diterbit 10 September 2020 6:13 AM MYT

SERI Paduka Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bercemar duli ke Majlis Pengurniaan Rumah Wilayah Prihatin yang diadakan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah, Kuala Lumpur di sini hari ini.

Ketibaan baginda berdua disambut Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa dan isteri; Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB) Datuk Seri Mahadzir Khalid; Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) Datuk Rosida Jaafar; Pengarah Eksekutif Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Datuk Ibrahim Yusoff dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) Zaizalnizam Zainun.

Majlis dimulakan dengan ucapan sembah maklum oleh Mahadzir yang menyatakan program Rumah Prihatin Wilayah Persekutuan telah bermula sejak 2016 dan menggunakan peruntukan zakat tahunan TNB.

Annuar kemudian menyampaikan ucapan sembah maklum kepada kedua-dua pasangan diraja. Dalam ucapannya, Annuar memaklumkan mengenai beberapa perancangan KWP khususnya untuk membantu rakyat di bandaraya Kuala Lumpur untuk mendapatkan rumah melalui beberapa program seperti Council Homes dan Micro Housing untuk golongan berpendapatan rendah. Selain itu, Annuar turut memaklumkan mengenai projek Urban Renewal iaitu projek penggantian Perumahan Awam kepada rumah apartment yang lebih selesa.

Pasangan diraja itu kemudian berkenan menyampaikan replika kunci rumah kepada 11 orang penerima sebagai simbolik kepada majlis berkenaan sebelum berangkat pulang meninggalkan majlis. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas