Berita

Alamanda teruskan sumbangan kepada frontliner di Hospital

ANTARA petugas barisan hadapan yang menerima sumbangan daripada pihak
- Diterbit 1 Oktober 2021 12:00 PM MYT

PUSAT beli belah Alamanda yang terkenal dengan pendekatan mesra komuniti menyambut ketibaan Hari Malaysia pada tahun ini dengan memperingati keringat dan pengorbanan warga kerja petugas barisan hadapan Hospital Putrajaya yang sehingga kini berhempas pulas dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

Pada 22 September lalu, sekali lagi pusat beli belah Alamanda menyalurkan peruntukan makanan yang bernilai RM10,000 kepada Hospital Putrajaya.

Sumbangan kali ketiga bagi tahun ini diserahkan kepada Pengarah Hospital Putrajaya, Datuk Dr Nora’i Mohd Said. Ketua Pegawai Esekutif Suria KLCC Sdn Bhd, Andrew Brien  berkata, sumbangan makanan dan minuman itu adalah kesinambungan tema ‘We Are With You’ yang mana pihak pengurusan akan terus memperkasakannya bagi membantu pejuang barisan hadapan negara. “Hari Malaysia adalah sambutan yang perlu diwacanakan sebagai titik penilaian aspek  kemanusiaan dari sudut yang lebih mendalam.

“Seiring dengan usaha rakyat Malaysia yang terus melawan wabak COVID-19, sokongan yang konsisten buat petugas barisan hadapan tidak boleh di ambil mudah,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Sehubungan itu, katanya, lanjutan dari kerjasama murni dan sifat bermurah hati dalam kalangan pelbagai pihak ini secara tidak langsung akan terus memberikan semangat dan kecekalan untuk masyarakat bersatu hati meneruskan perjuangan melawan pandemik.

Tambah Brien, pendekatan aktiviti tanggungjawab sosial pada kali ini diteruskan untuk menyambung inisiatif kompleks beli-belah Alamanda yang sedia membantu para pejuang barisan hadapan dan kelompok komuniti.

Dalam pada itu, Dr Nora’i berkata, beliau mewakili seluruh warga kerja dan rakan seperjuangan ingin merakamkan ribuan terima kasih kepada pihak pengurusan pusat beli belah Alamanda di atas inisiatif murni dalam menghulurkan bantuan khususnya di kala tempoh getir ini untuk ramai pihak.

Terdahulu, pengurusan Alamanda membeli bekalan dalam bentuk makanan dan minuman sejuk daripada penyewa runcit pusat beli-belah itu sendiri, untuk disumbangkan kepada warga kerja Hospital Putrajaya.

Pembelian dibuat daripada peruncit seperti Sushi King, Dunkin Donuts, Famous Amos, Tealive, Mahnaz Food dan Joybean. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas