Berita

Aktiviti Hari Merdeka Alamanda tarik minat pengunjung

20 LUKISAN yang dihasilkan peserta peraduan melukis VIKids dipamerkan di Alamanda untuk diundi pengunjung.
- Diterbit 8 September 2020 2:00 PM MYT

SEJAJAR tema Hari Kemerdekaan ke-63, pembeli dan pengunjung Alamanda diberi peluang
untuk mengundi pemenang utama dari 20 finalis yang dikategorikan kepada dua kumpulan umur iaitu Kategori 1 (7-9 Tahun) dan Kategori 2 (10-12 Tahun).

Hasil undian pembeli akan dipaparkan di monitor skrin sekitar lokasi paparan karya bermula pukul 10 pagi (bermula 24 Ogos sehingga 13 September 2020) dan ia juga akan disiarkan di laman sesawang dan Facebook Alamanda.

Undian saringan pula dilakukan pada 15 September ini dan ibu bapa finalis akan dihubungi untuk menerima hadiah yang disediakan.

Dalam pada itu, bagi menyemarakkan lagi semangat perpaduan semasa sambutan Hari Kemerdekaan ini, pusat beli-belah Alamanda akan mengumpul dana berjumlah RM10,000 bagi membeli makanan ringan untuk disumbangkan kepada kakitangan dan barisan hadapan medik di salah sebuah hospital di Putrajaya.

Ketua Pegawai Eksekutif Surai KLCC Sdn Bhd, Andrew Brien berkata, dana tersebut akan dikumpul semasa tebusan cenderahati baju T Merdeka edisi terhad oleh para pembeli dan semasa proses pengundian peserta peraduan seni ‘VIKids’.

BAJU T edisi khas Merdeka

Ujarnya, bagi mendapatkan baju T eksklusif tersebut, pembeli hanya perlu menunjukkan bukti pembelian yang berjumlah sekurangkurangnya RM500 (terkumpul melalui tiga resit) dari sebarang kedai-kedai terpilih Alamanda bermula 24 Ogos sehingga 16 September 2020.

Katanya, tebusan hanya sah dilakukan pada hari pembelian sementara stok masih ada dan setiap pembeli yang menebus baju T digalakkan untuk mengundi pemenang bagi peraduan melukis ‘VIKids’.

“Pihak Alamanda akan menyumbang RM10 ke dana sumbangan kakitangan dan barisan hadapan medik bagi setiap undian yang dibuat. Bagi membuka tirai sambutan Hari Kemerdekaan, pihak Alamanda akan memperhalusi sebanyak mungkin elemen kewarganegaraan di dalam penganjuran aktiviti menarik di samping fokus kepada tema Malaysia Prihatin.

“Pembeli yang menebus baju T eksklusif dan mengundi pada hari bekerja (Isnin – Khamis, tidak termasuk cuti am) juga berpeluang memenangi baucar MPH bernilai RM200 melalui kempen ‘Weekday Lucky Bonus’ (24 Ogos – 10 September 2020).

“Baucar bernilai RM200 akan diberi kepada pemenang cabutan bertuah pada pukul 3 petang, 11 September 2020,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, sebagai tanda terima kasih juga, pusat beli-belah Alamanda akan memberi 1,000 bungkus nasi lemak pada tanggal 31 Ogos 2020 (Hari Merdeka) dan 16 September 2020 (Hari Malaysia) kepada para pembeli yang menggayakan baju T Merdeka eksklusif edisi terhad Alamanda

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas