Fokus

Aksesori eksklusif wanita moden

|FAZILA bersama beberapa beg yang dihasilkannya mengikut permintaan pelanggan.||||||||||
- Diterbit 13 Disember 2020 7:35 AM MYT

MESKIPUN produk buatan tangan (handmade) kurang dikenali, namun setiap rekaan yang dihasilkan mempunyai nilai eksklusif tersendiri selain unik, lebih halus dan indah terutama aksesori wanita.

Maka tidak hairan apabila produkproduk seumpama itu ‘laku keras’ dan sentiasa mendapat tempat dalam pasaran tempatan.

Lebih menarik apabila, setiap hasilnya bertepatan dengan kehendak wanita moden yang mahukan kelainan dalam penampilan, tetapi masih menepati gaya terkini dan bersifat  ‘evergreen’.

Ini kerana, bagi wanita, aksesori yang dipakai adalah lambang peribadi yang mengetengahkan gaya serta imej.

HUEY SY KETENGAH BEG SONGKET, BATIK MALAYSIA

MATERIAL berasaskan songket menjadi pilihan pengguna sama ada remaja mahupun wanita berkerjaya.

SIAPA sangka seorang wanita korporat yang tidak dianugerahkan ‘jari-jemari kreatif’ mampu menghasilkan produk dan membina jenama sendiri sejak dua tahun lalu.

Lebih membanggakan apabila, produk berupa beg tangan yang dihasilkannya sering meniti di bibir wanita moden dan canggih kerana direka sejajar perkembangan fesyen masa kini.

Walaupun dihasilkan secara ‘tiba-tiba’ bagi mendapatkan wang untuk program kebajikan, namun usaha yang dilakukan itu akhirnya melahirkan minat dalam diri Huey Sy.

Oleh itu, sejak Jun 2018, dia giat menghasilkan beg yang menepati citarasa pelanggan.

“Saya mempunyai rakan dalam bidang korporat yang berumur hampir 60 tahun. Dia menyatakan hasrat untuk membuat kebajikan sebelum bersara.

“Selepas berbincang, saya dan rakan mencapai kata sepakat untuk menghasilkan beg serta menjualnya kepada kenalan rapat.

“Duit yang diperoleh diserahkan kepada rumah orang tua dan anak yatim. Turut diberikan adalah katil perubatan dan keperluan harian untuk organisasi berkenaan,” katanya ketika ditemui Wilayahku pada Isnin.

Menyedari permintaan untuk beg semakin meningkat, Huey Sy mula mendalami selok-belok pembuatan beg.

BEG Huey Sy dihasilkan daripada jahitan tangan terutama pada bahagian pemegangnya.

Baginya, bila ada permintaan, pastinya akan mempunyai pasaran. Tambahan pula, beg adalah aksesori penting buat wanita berkerjaya.

Daripada itu, dia mengikuti kursus penghasilan beg daripada rakan-rakan dan memulakan perniagaan secara sambilan di salah sebuah pusat membelibelah di Kuala Lumpur.

“Saya memang tidak tahu menjahit dan tidak pernah ada minat ke arah itu. Tetapi tidak sangka, ia akan menjadi salah satu punca pendapatan saya pada masa ini.

“Lagipun, tugas sebagai perunding Airbnb (sewaan penginapan) dalam tempoh sekarang agak sukar dilakukan kerana wabak COVID-19,” katanya yang tidak menyangka akan mempunyai jenama sendiri.

Katanya lagi, beg bernilai antara RM130 hingga RM400 (bergantung pada material) itu dihasilkan pada masa lapang iaitu sekitar pukul 5.30 pagi dan waktu malam sebelum tidur.

REKAAN TERKINI, VERSATILE

Menurut ibu kepada lima cahaya mata ini, bagi membolehkan beg tangan yang dihasilkan dapat digayakan setiap lapisan masyarakat, dia menggabungkan beberapa rekaan terkini  yang berkonsepkan kontemporari.

Di samping itu, katanya, saiz dan pemilihan warna antara teras penting dalam setiap rekaannya sekali gus membolehkan produk yang dihasilkan kekal dan malar setiap masa (evergreen).

SAIZ yang kecil dan konsep silang yang dipadankan dengan warna pastel menjadikannya pilihan tepat untuk digayakan remaja.

“Saiz yang kecil dengan padanan warna yang terang lebih sesuai untuk golongan remaja. Mereka juga boleh menggayakannya dengan dua cara iaitu secara ‘silang’ mahupun seperti ‘clutch’.

“Bagi wanita yang berusia pula, saya hasilkan beg yang lebih besar dengan padanan warna lembut. Namun, ada juga wanita bekerjaya yang meminati ‘design’ seperti ini,” jelasnya.

Bercerita lanjut, Huey Sy berkata, idea untuk memulakan rekaannya itu diperoleh daripada seorang teman universiti yang berbangsa Jepun.

“Rakan saya dari Universiti Sydney, Australia adalah orang Jepun. Dia kirimkan pemegang beg jenis buluh cina kepada saya.

“Bagaimanapun, saya lebih suka ketengahkan produk Malaysia seperti corak batik dan songket. Oleh itu, saya gabungkan idea tersebut dan terlahirlah beg tangan berasaskan songket dengan pemegang yang diperbuat daripada buluh Cina.

“Mungkin disebabkan rekaan songket dan batik, beg tangan yang dihasilkan ini begitu laris dijual dalam pasaran tempatan,” ujarnya yang dapat menghasilkan lima buah beg dalam satu hari.

Seperti pereka yang lain, Huey Sy juga mempunyai hasrat untuk melebarkan sayap lebih jauh dan mahu jenamanya menembusi pasaran antarabangsa.

Bagaimanapun, dia tidak meletakkan harapan tinggi dan berharap produknya berjaya mendapat tempat dalam pasaran tempatan.

Tambahnya, dia turut menerima tempahan mengikut citarasa pelanggan dan harga berdasarkan saiz, bentuk dan material yang digunakan.

R.E.A.K.S.I  P.E.N.G.G.U.N.A ~~

“UNIK dan ‘hanya satu’. Itu merupakan kelebihan produk buatan tangan yang mana walaupun bentuknya adalah sama, namun corak pada setiap beg mempunyai kelainan tersendiri.
“Seperti produk Huey Sy, walaupun dibuat oleh seseorang yang berbangsa Cina, namun  rekaan dan jenis material yang digunakan mengetengahkan warisan Melayu tradisional.”
NUR SOFEA ADILA MOHD YUSOF, 26
Pengurus Kewangan Peribadi

 

“PRODUK ‘handmade’ mempunyai nilai estetika yang tersendiri dan kebanyakannya tampil dengan dekorasi moden serta kontemporari sekali gus menepati citarasa generasi masa kini.
“Ia juga mempunyai kualiti yang tinggi dan memberi keselesaan kepada penggunanya.”
NUR SYAMIN LOKMAN HAKIM, 28
Eksekutif Pembangunan Binaan

 

“SAYA lebih gemar memilih produk ‘handmade’ kerana ia memberi rasa eksklusif dan menarik perhatian.
“Walaupun harganya murah, namun kualitinya setanding beberapa jenama terkenal yang lain. Material juga ‘tak lapuk dek zaman, tak lekang dek hujan’ dan boleh dibuat mengikut permintaan.”
NAZLINDA AHMAD NAZRI, 27
Jurutera Pemasaran dan Pemasangan

 

“SAYA memang seorang yang menitikberatkan kualiti beg tangan.
“Bagi saya harga tidak menjadi masalah jika sesuatu produk tersebut berkualiti tinggi dan saya tidak menyangka adanya beg tangan tempatan yang kualitinya setaraf produk antarabangsa.”
AISYAH AWIE
Peguam

 

“BEG ‘handmade’ terdiri daripada pelbagai gred dan kualiti. Ia memberi penekanan kepada kraftangan yang canggih selain agak rumit dilakukan.  Kerana itu, ia tidak dijual secara besar-besaran dan harga yang ditawarkan mungkin lebih mahal berbanding beg jahitan mesin.”
NUR DAYANA NAZRI, 25
Peniaga

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas