Berita

Agong seru rakyat Malaysia berhijrah

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika bertitah pada Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan di sini hari ini. - Foto: BERNAMA
YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika bertitah pada Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan di sini hari ini. - Foto: BERNAMA
- Diterbit 1 September 2019 6:19 AM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]

PUTRAJAYA – Bersempena sambutan Maal Hijrah 1441H hari ini, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk berhijrah membentuk sebuah negara yang maju dengan asas perpaduan dan keharmonian yang utuh.

Titah Seri Paduka, penghijrahan negara ke tahap yang lebih tinggi akan boleh dicapai melalui pembentukan semangat toleransi dan kerjasama rakyat berbilang kaum yang menjadi asas kukuh kepada perpaduan negara.

“Dalam kita berusaha melakukan hijrah kepada hidup bermasyarakat yang lebih toleransi serta disemai dengan bunga kasih sayang, janganlah pula kita mengabaikan tuntutan agama dan hukum Allah,” titah Seri Paduka pada perhimpunan Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan di sini hari ini. 

Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berkenan berangkat ke majlis tersebut. Hadir sama, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof.

Sultan Abdullah bertitah gagasan idea ‘Rahmatan-Lil-Alamin’ yang diketengahkan juga boleh membawa konsep hidup bermasyarakat kepada tahap yang lebih tinggi, di mana konsep tersebut telah dibawa oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang bersifat sejagat dan rahmat untuk seluruh alam.

Titah Seri Paduka, semenjak negara mencapai kemerdekaan 62 tahun yang lalu, Malaysia telah melalui pelbagai peristiwa penghijrahan yang amat menakjubkan.

“Negara telah melalui pembangunan fizikal yang pesat, peningkatan ekonomi yang mampan dan juga kematangan landskap politik.

“Pengukuhan etika dan nilai-nilai murni dalam pentadbiran serta pengurusan adalah satu aspek yang wajar dilaksanakan,” titah Sultan Abdullah.

Baginda turut menegaskan bahawa pembentukan sebuah negara maju tanpa budaya integriti yang tinggi adalah merupakan penghijrahan yang tempang.

Menyokong usaha meletakkan tadbir urus negara berasaskan kepada disiplin ilmu Maqasid Syariah, Seri Paduka bertitah melalui pendekatan itu, penghijrahan tertinggi yang boleh dicapai adalah dengan memartabatkan kebaikan dan menolak keburukan dalam setiap jiwa rakyat di negara ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas