Berita

Atlet berbasikal negara sumbang tiga emas sempena merdeka

AZIZULHASNI (tengah) menunjukkan dua pingat emas yang digondolnya pada Kejohanan Berbasikal Trek Antarabangsa China Siri 1 semalam. Anis Amira pula meraih emas acara keirin dan Muhammad Fadhil (gangsa).
AZIZULHASNI (tengah) menunjukkan dua pingat emas yang digondolnya pada Kejohanan Berbasikal Trek Antarabangsa China Siri 1 semalam. Anis Amira pula meraih emas acara keirin dan Muhammad Fadhil (gangsa).
- Diterbit 31 Ogos 2019 11:06 AM MYT

KUALA LUMPUR – Tiga pingat emas yang disumbangkan oleh pasukan berbasikal trek negara pada Kejohanan Berbasikal Trek Antarabangsa China siri 1 semalam merupakan hadiah terbaik sempena hari kemerdekaan negara yang ke-62.

Jaguh pecut negara, Mohd. Azizulhasni Awang berjaya meraih dua pingat emas masing-masing bagi acara pecut individu dan lelaki.

Pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu muncul sebagai pemenang pada acara pecut individu dengan menewaskan pelumba Kazakhstan, Andrey Chugay manakala gangsa dirangkul oleh pelumba tuan rumah, Zhou Yu.

Kecemerlangan itu diteruskan pada acara kegemarannya, keirin apabila dia sekali lagi menggondol emas dengan mengetepikan pelumba Taiwan, Kah Shing Fen pada aksi final manakala seorang lagi pelumba negara, Muhammad Fadhil merangkul gangsa.

Pencapaian cemerlang skuad lelaki turut memberi kesan kepada pelumba wanita elit negara, Anis Amira Rosidi apabila dia menghadirkan pingat emas ketiga negara selepas mengungguli acara keirin.

Pada perlumbaan, pelumba Jepun, Ohta Riyu dan Crismonita Dwi Putri dari Indonesia terpaksa berpuas hati di kedudukan kedua dan ketiga.

“Saya sangat gembira apabila berjaya menaiki podium. Saya akan terus bekerja keras untuk menaikkan nama Malaysia,” kata Anis. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas