Berita

Agong seru rakyat bersatu hati bantu kerajaan pulih ekonomi

Al-Sultan Abdullah mendoakan agar Malaysia terus dilindungi dari semua bentuk ancaman, dirahmati dan diberkati serta dikurniakan dengan kemakmuran dan perpaduan yang berkekalan
- Diterbit 8 Jun 2020 2:06 AM MYT

KUALA LUMPUR – Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong hari ini, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan harapan agar rakyat Malaysia berbilang kaum, agama dan budaya akan terus mengekalkan kemakmuran dan perpaduan yang telah dikecapi bersama selama ini.

Al-Sultan Abdullah mendoakan agar seluruh rakyat Malaysia terbuka hati untuk bersatu memikul peranan membantu kerajaan menjayakan usaha-usaha pemulihan ekonomi demi kesejahteraan rakyat dan negara yang dicintai bersama.

Istana Negara dalam kenyataan dalam laman Facebook hari ini berkata, Seri Paduka menyeru rakyat terus bersabar dan berdisplin dengan tatacara serta amalan kebiasaan baharu dan mematuhi semua perintah yang dikeluarkan oleh kerajaaan dalam usaha memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19.

“Seri Paduka Baginda menyanjung tinggi terhadap komitmen dan pengorbanan yang dicurahkan oleh para petugas keselamatan dan barisan hadapan dalam memerangi wabak ini.

“Al-Sultan Abdullah mendoakan agar Malaysia terus dilindungi dari semua bentuk ancaman, dirahmati dan diberkati serta dikurniakan dengan kemakmuran dan perpaduan yang berkekalan,” kata kenyataan itu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas