Agong pertahan kedudukan agama Islam

Agong pertahan kedudukan agama Islam

DENGAN penuh rasa syukur, seluruh rakyat Malaysia telah dapat menyaksikan istiadat penuh pertabalan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang telah berlangsung pada tanggal 30 Julai 2019, pastinya mengikut tradisi dan adat Raja-Raja Melayu.

Adat dan tradisi ini merupakan sesuatu yang unik, yang masih lagi berjalan dalam sistem raja berperlembagaan di Malaysia. Ia juga berjalan dalam negara yang meletakkan agama Islam sebagai agama bagi Persekutuan.

Ianya sesuai dengan kata-kata yang menyatakan: Adat bersendikan hukum, hukum bersendikan kitabullah. Ia juga dilihat sebagai satu lambang kemegahan rakyat di atas peranan raja yang menjadi tonggak urusan agama Islam dalam negara. Dalam erti kata lain, raja memayungi rakyat dalam segenap segi kehidupan, budaya, adat istiadat dan agama. Meneliti hal ini, dapatlah kita fahami bahawa raja merupakan payung kepada negara.

Demikian pula rakyat suka akan raja yang prihatin terhadap rakyat jelata. Dalam hal ini, sudah tentu kita boleh bersetuju dengan ungkapan yang mengatakan bahawa raja dan rakyat itu berpisah tiada. Ungkapan ini membawa maksud yang sangat mendalam. Raja yang sentiasa mendampingi rakyat pastinya akan disukai oleh rakyat. Bukan sesuatu yang mudah untuk golongan raja ini turun mencemar duli untuk bersama rakyat di atas kesibukan mereka.

Namun apa yang ditunjukkan oleh DYMM Sultan Abdullah sebelum ini seperti makan di restoran makanan segera, berhenti untuk membantu mangsa kemalangan dan lain-lain aktiviti baginda dengan rakyat, jelas menunjukkan betapa baginda merupakan seorang yang tidak memisahkan rakyatnya.

Dalam konteks negara kita, institusi raja itu sangat penting. Raja merupakan Ketua bagi agama Islam di negeri-negeri. Oleh kerana terdapat negeri yang mempunyai raja dan negeri yang tidak mempunyai raja, maka tugas Yang di-Pertuan Agung dilihat amat penting dalam hal ehwal agama Islam kerana baginda merupakan Ketua Agama Islam dalam negara.

Berasaskan perlembagaan persekutuan, Yang di-Pertuan Agong mewakili raja negeri-negeri yang mempunyai raja dalam urusan agama Islam dan menjadi Ketua Agama Islam bagi negeri-negeri yang tidak mempunyai raja tersebut.

Peranan Raja-raja Melayu dalam aspek ini tidak dapat dinafikan. Semenjak zaman kesultanan Melayu Melaka, negeri-negeri di Tanah Melayu di perintah oleh raja-raja yang beragama Islam. Ketika Tanah Melayu dijajah, raja-raja tetap berperanan dalam hal ehwal agama, manakala dalam hal pentadbiran mereka dinasihati oleh Residen Inggeris. Inggeris tidak memberi nasihat mengenai agama Islam dan adat istiadat Melayu. Perkara agama Islam diserahkan secara mutlak kepada Raja-raja Melayu.

Ini menjadikan peranan yang dimainkan oleh raja-raja Melayu itu sangat penting, terutama apabila melihat kepada perlembagaan negara yang meletakkan agama Islam sebagai agama persekutuan.

Sesuai dengan itu, terdapat mereka yang melihat bahawa kedudukan raja itu seumpama bayangan (kekuasaan) Allah di muka bumi (dhillullah fil ard) yang memastikan pentadbiran negara dilaksanakan berasaskan syariat Islam.

Tidaklah keterlaluan untuk mengatakan bahawa kedudukan ini selari dengan kisah dalam al-Quran mengenai konsep kejadian manusia sebagai khalifah iaitu sebagai wakil Allah SWT untuk mentadbir dan mengurus dunia.

Dalam meneruskan usaha sebagai khalifah ini, secara tidak langsung dapat menggambarkan sekaligus menjadikan institusi raja sebagai sebagai wahana terpenting dalam memupuk kuasa politik dan ekonomi Islam di Alam Melayu, khususnya dalam negara kita yang tercinta.

Demi mengukuhkan institusi raja, kita dapati bahawa elemen kedua yang ada dalam pernyataan Rukun Negara adalah Kesetiaan kepada Raja dan Negara. Rukun Negara yang dibentuk pada tahun 1970 selepas berlaku pergolakan kaum pada tahun 1969, menunjukkan betapa elemen ini perlu dihayati untuk memakmurkan negara.

Sesiapa sahaja dalam kalangan rakyat Malaysia, tidak kira apa status mereka, perlu memastikan kesetiaan kepada raja dan negara ini terus dipupuk dalam diri dan disuburkan dalam masyarakat. Ia menjadi nilai penting dalam kehidupan demi menjamin kesejahteraan dan keamanan yang dikecapi ini akan terus berpanjangan. Dalam apa jua keadaan, pemimpin tertinggi itu wajiblah dipatuhi.

Di dalam Islam juga dipertegaskan mengenai perkara kesetiaan dan ketaatan ini. Firman Allah SWT di dalam Surah al-Nisa’ ayat 59, bermaksud: “Taatlah kamu kepada Allah, dan taatlah kamu kepada Rasul (Nabi Muhammad SAW), dan kepada pemimpin (ulil amr) di antara kamu. Sekiranya kamu bertelagah di antara satu sama lain dalam sesuatu perkara, maka kembalilah (merujuk) kepada Allah dan Rasul…” Pada zaman awal Islam, ketaatan kepada pemimpin itu diletakkan pada tahap yang tinggi. Ini dapat dilihat dalam banyak peristiwa yang berlaku.

Di antaranya ialah ketika Rasulullah SAW melantik Usamah bin Zaid untuk mengetuai pasukan perang, di mana usia Usamah pada waktu itu baru sahaja berumur 18 tahun. Walaupun masih muda berbanding dengan para sahabat Nabi yang lebih senior dan berpengalaman, Usamah tetap mendapat penghormatan. Ini kerana apa yang diputuskan oleh Rasulullah SAW selaku pemimpin utama pada waktu itu diterima dan ditaati oleh para sahabat.

Mengambil iktibar dari kisah ini, kita juga harus bersiap sedia memberikan ketaatan kepada raja selaku pemimpin tertinggi dalam negara demi menjamin keselamatan dan ketenteraman terus terjaga.

Ringkasnya, raja merupakan payung kepada kedaulatan negara yang memberi naungan saksama kepada setiap warga tanpa mengira kaum dan agama. Institusi raja turut berperanan sebagai tonggak kestabilan, sumber keadilan, teras perpaduan, payung penyatuan dan instrumen kesatuan dalam kepelbagaian. Oleh itu, institusi raja perlu dipertahankan kerana sejarah membuktikan ia memainkan peranan dan sumbangan cukup penting dalam menyatukan rakyat di negara ini.

Dr. Mohd. Roslan Mohd. Nor merupakan pensyarah Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

CATEGORIES