Berita

Agong kurnia darjah kebesaran kepada 188 individu

SULTAN ABDULLAH menganugerahkan pingat Darjah Seri Mahkota Wilayah (SMW) yang membawa gelaran Datuk Seri kepada Mohd. Zawawi di Istana Melawati, Putrajaya pagi tadi.
- Diterbit 1 Februari 2020 8:05 AM MYT

PUTRAJAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan darjah kebesaran, bintang dan pingat Wilayah Persekutuan 2020 kepada 188 individu pada istiadat yang berlangsung di Istana Melawati di sini hari ini.

Mendahului senarai penerima ialah Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Mohd. Zawawi Salleh yang dikurniakan Darjah Seri Mahkota Wilayah (SMW) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Turut menerima SMW adalah Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad dan Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mazlan Yusoff.

25 individu lagi menerima pingat Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk.

Mereka ialah Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Dr. Waitchalla R.R.V Suppiah; Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji, Datuk Nik Mohd. Mohd. Hasyudeen Yusoff; Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB), Datuk Zulkurnain Hassan; Ketua Pengarah Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan, Datuk Danial Mah Abdullah dan Penggiat Teater dari Seniman Paksi Rakyat, Datuk Che Samsudin Othman atau dikenali sebagai Dinsman.

Selain itu, seorang penerima merupakan Ahli Lembaga Penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) iaitu pengamal undang-undang, Datuk N. Sankara.

Seramai 38 individu menerima pingat Johan Mangku Wilayah (JMW) manakala 27 individu menerima anugerah Kesatria Mahkota Wilayah (KMW) termasuk atlet yang mengharumkan nama negara di dalam sukan bina badan iaitu Mohd. Syarul Azman Mahen Abdullah yang telah menyumbangkan enam pingat emas dalam kejohanan bina badan dunia; wartawan veteran, Ahmad Subki Abdul Latif dan kakitangan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), Hartini Zainuddin.

Dalam pada itu, sebanyak 36 individu dianugerahkan pingat Ahli Mahkota Wilayah manakala 58 individu menerima Pingat Pangkuan Mahkota Wilayah (PPW) termasuk atlet karate, S. Prem Kumar yang berjaya merangkul pingat gangsa dalam acara kumite pada Sukan Asia 2018 di Jakarta. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas