Berita

1,000 pemain bola sepak cilik, ibu bapa meriahkan Wilayahku Junior Championship 2020

PASUKAN KLRA (jersi oren) berentap menentang CIMB YFA bagi merebut gelaran juara Wilayahku Junior Championship 2020 di Padang Bola Sepak KLFA Taman Melawati hari ini.
- Diterbit 1 Februari 2020 8:02 AM MYT

KUALA LUMPUR – Kira-kira 1,000 orang membanjiri Padang Bola Sepak KLFA, Taman Melawati di sini bagi memeriahkan acara Wilayahku Junior Championship 2020 yang diadakan sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan hari ini.

Sebanyak 27 pasukan melibatkan lebih 360 pemain cilik berumur lapan hingga 12 tahun berentap merebut gelaran juara kejohanan itu.

Pasukan bawah 12 tahun menyaksikan 10 pasukan bersaing untuk peringkat final esok iaitu Rovers 11, CIMB YFA, Solo 12, PNSB, Saujana Impian, Langat Titan, BTR 09, AU Keramat, KLRA 12 dan ARFC.

Pasukan bawah 10 tahun pula disertai KL Rovers A, CIMB YFA, PNSB, Ombak FC, Seahawk A, Solo 1, AU Keramat, KL Rovers B, ARFC, Solo 2, Seahawk B dan WM Wolf.

Pasukan bawah lapan tahun pula ialah KLRA 8, CIMB YFA, Solo 1, Solo 2 dan AFZA.

Kejohanan tersebut merupakan anjuran akhbar Wilayahku dengan kerjasama Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dan Kuala Lumpur Rovers Academy (KLRA).

Sementara itu, Pegawai Jualan dan Pemasaran Wilayahku, Mohd. Zuhairi Mazlan berkata, kejohanan itu memberikan peluang kepada Wilayahku untuk memperkenalkan akhbar tersebut kepada khalayak ramai.

“Hari ini kita mengedarkan akhbar Wilayahku dan cenderahati daripada YWP kepada ibu bapa yang hadir menemani anak-anak mereka bermain bola sepak.

“Kita mahu menjadikan acara sukan yang menekankan gaya hidup sihat khususnya bola sepak begitu dekat dengan Wilayahku,” katanya sambil menyifatkan acara tersebut dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Dalam pada itu, Pengurus pasukan KLRA, Aznor Dzulkarnain berkata, kejohanan itu mendapat sambutan hangat sehingga pihaknya terpaksa menutup penyertaan yang ingin masuk pada saat terakhir.

“Kita harap acara ini dapat dijadikan sebagai program tahunan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas