Berita

ADMM ke-17: Kerjasama Malaysia, ASEAN diperkukuh depani isu pertahanan serantau

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 15 November 2023 12:00 PM MYT

PENYERTAAN Malaysia dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) ke-17 dan ADMM-Plus ke-10 di Jakarta, Indonesia menandakan komitmen berterusan negara ini kepada ASEAN.

Kementerian Pertahanan dalam kenyataan memaklumkan mesyuarat berkenaan yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini akan membincangkan antaranya isu pertahanan dan keselamatan di peringkat serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.

“Kehadiran Menteri Pertahanan (Datuk Seri Mohamad Hasan) bersama delegasi Malaysia ke ADMM ke-17 dan ADMM-Plus ke-10 ini amat penting bagi memperlihatkan kepimpinan Malaysia dan kesatuan ASEAN dalam membincangkan isu-isu pertahanan serta keselamatan peringkat serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.

Mesyuarat ADMM dan ADMM-Plus juga merupakan langkah membina keyakinan dalam mendepani situasi semasa serta meningkatkan kerjasama pelbagai hala berhubung isu-isu pertahanan dan keselamatan di rantau Asia Tenggara,” menurut kenyataan itu.

Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Menteri Pertahanan Indonesia Prabowo Subianto selaku Pengerusi ADMM dan ADMM-Plus bagi 2023.

Menurut kenyataan itu kedua-dua mesyuarat berkenaan merupakan platform utama untuk ASEAN dan Rakan Dialog ASEAN dalam meningkatkan kebolehoperasian serta kebersamaan antara angkatan tentera negara masing-masing dalam bidang yang dikenal pasti.

Rakan dialog ASEAN terdiri daripada Amerika Syarikat, Australia, China, India, Jepun, Korea Selatan, New Zealand dan Rusia.

Kementerian Pertahanan turut memaklumkan Malaysia akan menjadi pengerusi bersama dengan India bagi ADMM-Plus Experts’ Working Group on Counter Terrorism bagi penggal 2024-2027.

“Kementerian Pertahanan mula membuat persiapan bagi mesyuarat ADMM dan ADMM-Plus, dengan ASEAN bakal dipengerusikan oleh Malaysia pada 2025.

“Malaysia mengucapkan tahniah kepada Indonesia selaku Pengerusi ASEAN 2023 atas kejayaan penganjuran Mesyuarat ADMM ke-17 dan ADMM-Plus ke-10,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas