Utama

ADGMIN1: Memantapkan jalinan kerjasama, pembangunan ekosistem digital ASEAN

- Diterbit 21 Januari 2021 4:43 AM MYT

MEMANTAPKAN jalinan kerjasama antara negara-negara anggota ASEAN ke arah pembanguan ekosistem digital, akan menjadi fokus utama Mesyuarat Menteri-Menteri Digital ASEAN yang pertama (ADGMIN1) yang bermula hari ini.

Mesyuarat dua hari yang berlangsung secara maya dipengerusikan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.

Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dalam satu kenyataan dikeluarkan selepas majlis perasmian hari ini menyatakan, mesyuarat itu akan memperluaskan kerjasama Malaysia bersama Rakan Dialog ASEAN – Jepun, China, Kesatuan Eropah, Amerika Syarikat, Korea Selatan, India dan Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) – dalam memperbaiki polisi ICT, pembangunan sumber manusia dan meneroka teknologi baharu.

“Ini akan terus meningkatkan keupayaan kesemua negara ASEAN dalam menghadapi risiko di ruang siber, yang akan dapat dilihat menerusi pelancaran Pelan Induk Digital ASEAN 2025 (ADM 2025) pada 22 Jan,” menurut kenyataan itu.

Selain ADM 2025, prosedur pentadbiran dan kaedah pemindahan data antara anggota negara ASEAN juga akan dirumuskan, untuk menjadi dasar utama dalam menerapkan transformasi digital – Kerangka Kerja Tadbir Urus Data Digital ASEAN (ASEAN Digital).

Terdahulu Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan ucaptamanya secara maya ketika majlis perasmian.

Bertemakan ‘ASEAN: Komuniti Yang Dihubungkan Secara Digital’, ADGMIN1 bertujuan untuk menarik penglibatan lebih banyak sektor swasta menyertai dalam pembangunan infrstruktur ICT dan perkhidmatan berkualiti, serta meningkatkan daya saing ASEAN bagi mendukung matlamat Komuniti ASEAN.

Mesyuarat yang diadakan secara maya itu bertindak sebagai satu forum bagi bertukar-tukar pandangan dan polisi, berkaitan dengan penggunaan spektrum untuk kegunaan telekomunikasi serta perkara-perkara berkaitan dengan industri telekomunikasi di rantau Asia Tenggara.

Mesyuarat hari ini didahului dengan Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Digital ASEAN (ADGSOM), yang dipengerusikan Ketua Setiausaha KKMM Datuk Seri Mohammad Mentek.

ASEAN yang ditubuhkan pada 1967, satu organisasi serantau yang terdiri daripada 10 negara Asia Tenggara – Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas