Utama

Sukarelawan KRT hasilkan 400,000 PPE menjelang hujung Feb

- Diterbit 21 Januari 2021 5:01 AM MYT

SEBANYAK 400,000 unit peralatan perlindungan peribadi (PPE) akan dihasilkan sukarelawan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) bagi kegunaan petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan (KKM), menjelang hujung Februari ini.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata Kementerian Perpaduan Negara (KPN) telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM1.55 juta kepada 115 KRT di seluruh negara bagi menjahit dan menyediakan PPE seperti jubah luar, penutup kepala, penutup kasut, penutup but dan pelindung muka untuk kegunaan semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mei 2020.

“Sehingga 4 Jan lepas, sebanyak 176,043 unit PPE telah dihasilkan oleh KRT melibatkan 13 negeri bagi kegunaan petugas barisan hadapan KKM,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata KPN mengambil inisiatif mengerakkan jentera perpaduan KRT, melalui tenaga sukarela komuniti setempat bagi membantu membekalkan keperluan peralatan PPE kepada petugas barisan hadapan.

Menurutnya, penyediaan peralatan PPE oleh KRT itu adalah inisiatif berterusan yang akan dijalankan mengikut keperluan semasa. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas