Agama

Adakah syahid meninggal dunia di Madinah?

KOTA MADINAH dahulu. - Gambar hiasan
KOTA MADINAH dahulu. - Gambar hiasan
- Diterbit 23 Ogos 2019 5:43 AM MYT

Soalan:
Adakah orang yang mati di Madinah dikira sebagai mati
syahid?

Jawapan:
ALHAMDULILLAH, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Menjawab persoalan, terdapat nas yang menyebut berkenaan kelebihan serta keutamaan mati di Madinah. Daripada Ibn Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda: Maksudnya: “Sesiapa di antara kamu mampu meninggal dunia di kota Madinah hendakah dia melakukannya. Sesungguhnya aku akan bersaksi bagi sesiapa yang meninggal di Kota Madinah.” Riwayat Ibnu Majah (3112)

Dalam lafaz yang lain, daripada Ibn Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda: Maksudnya: “Siapa yang berkemampuan untuk meninggal dunia di Madinah, maka meninggallah di sana kerana aku akan memberi syafaíat kepada mereka yang mati di sana.” Riwayat Ahmad (5952), al-Tirmizi (3917) dan al-Baihaqi dalam Syuíab al-Iman (4185)

Maksud “meninggal dunia di Madinah” ialah tinggal di sana sehingga meninggal dunia di Madinah. Perkataan “meninggallah di sana” bermaksud menetaplah di sana sehingga meninggal dan ia merupakan galakan dan dorongan supaya menetap di sana. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 10/286)

Imam al-Tibi dinukilkan berkata: “Arahan supaya mati di Madinah itu merupakan perkara di luar kemampuan manusia bahkan ia kembali kepada Allah SWT. Akan tetapi, makna hadis ini adalah perintah untuk tinggal menetap di sana dan tidak meninggalkan kota tersebut. Sehinggalah ia menjadi sebab untuk dapat mati di dalamnya. (Lihat Tuhfah al-Ahwadzi, 10/286)

Saidina Umar R.A juga pernah berdoa: Maksudnya: “Ya Allah, kurniakanlah aku syahid di jalan-Mu. Matikanlah aku di negeri Rasul-Mu SAW (Madinah).” Riwayat al-Bukhari (1890)

Berdasarkan doa Saidina Umar ini, Imam al-Nawawi berpendapat bahawa memohon doa agar dimatikan di tempat yang mulia adalah digalakkan. (Lihat al-Majmuí, 5/118)

Berdasarkan nas di atas, tidaklah dinyatakan bahawa meninggal dunia sebagai mati syahid tetapi mendapat keistimewaan pada hari akhirat kelak dengan syafaíat Rasulullah SAW. Justeru apa yang berlaku kepada Saidina Umar R.A adalah dua kebaikan:

Pertamanya, kematiannya dalam keadaan syahid dan dengan husnul khatimah kerana dibunuh oleh musuh Allah dan dalam keadaan bersiap sedia menuju kepada-Nya.

Keduanya, Saidina Umar meninggal dunia di kota Madinah, tempat yang Nabi sabdakan untuk mendapat syafaatnya. Justeru, kami tegaskan di sini bahawa mati di kota Suci Madinah, bukanlah bermakna mati syahid, tetapi mendapat syafaíat daripada Nabi SAW pada hari akhirat kelak.

Semoga Allah kurniakan kepada kita mati dalam keadaan husnul khatimah. Amin.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas