DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menaik taraf kawasan gerai penjaja di sekitar Jalan Masjid India di ibu negara secara berfasa sebagai sebahagian daripada usaha berterusan meningkatkan keindahan, kebersihan dan daya tarikan kawasan tersebut.
Dalam kenyataan pada Rabu, DBKL memberitahu bahawa ia akan dilaksanakan melalui program Lestari Niaga.
“Naik taraf ini akan dilakukan secara berfasa untuk memastikan pelaksanaannya tidak mengganggu aktiviti perniagaan sedia ada di kawasan yang menjadi tumpuan orang ramai ini.
“Di kawasan Jalan Masjid India, terdapat beberapa kategori lokasi perniagaan, antaranya adalah pusat penjaja berbumbung seperti di Jalan Melayu, Medan Bunus, Segi 3 Bunus serta ruang tepi jalan di sekitar kawasan Masjid India,” jelasnya.
Menurut DBKL, antara projek utama yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat ialah penyusunan semula peniaga di Jalan Melayu serta penyediaan gerai baharu yang lebih sistematik untuk penjaja di lokasi tersebut.
Walau bagaimanapun katanya, keutamaan kini diberikan kepada penyediaan lokasi perniagaan sementara untuk peniaga yang terlibat bagi memastikan kelangsungan aktiviti perniagaan mereka semasa kerja-kerja naik taraf dijalankan.
“Setelah kerja-kerja naik taraf ini siap, kawasan gerai penjaja di sekitar Jalan Melayu dan Jalan Masjid India akan tampil dengan wajah baharu yang lebih menarik, bersih dan teratur,” katanya.
Jelasnya, usaha tersebut diharap dapat meningkatkan keindahan ruang bandar, menarik lebih ramai pengunjung dan pelancong serta memberi manfaat kepada peniaga dan komuniti setempat.
Pihak DBKL katanya, akan terus memantau pelaksanaan projek ini dengan teliti dan bekerjasama rapat dengan semua pihak yang terlibat bagi memastikan matlamat pembangunan tersebut tercapai.
“Kami menghargai sokongan dan kerjasama semua pihak dalam menjayakan usaha ini,” katanya.
Sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) menerusi DBKL meninjau kawasan perniagaan yang usang, uzur dan memerlukan penambahbaikan di Jalan Masjid India.
Tegas Perdana Menteri, deretan kedai dan gerai termasuk yang telah bertapak sekian lama di kawasan berkenaan adalah kawasan tarikan utama pelancong di ibu kota yang perlu diambil perhatian. – WILAYAHKU