SELAMA ini, terdapat netizen mendakwa Kerajaan MADANI hanya mengikut telunjuk parti DAP mengalu-alukan malah menyambut meriah pelancong dari China.
Sehinggakan ada yang mendakwa pelancong China yang datang diberikan hak kewarganegaraan Malaysia. Disebabkan itu kerajaan hanya fokus kepada pelancong China sahaja.
Ternyata netizen silap. Ini kerana Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) meletakkan sasaran ketibaan seramai 35.6 juta pelawat antarabangsa dengan menjana nilai sebanyak RM147.1 bilion pada acara Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026).
Bagi merealisasikan hal tersebut, MOTAC mengadakan peluncuran Kempen TMM 2026 sebagai inisiatif menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama yang ideal.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun sasaran berkenaan tinggi, namun ia tidak mustahil untuk diraih kerana nilai tersebut adalah realistik.
“Jika hal ini berjaya diraih, maka ia dapat memanfaatkan pelbagai sektor pelancongan termasuk makanan dan minuman (F&B) serta mana-mana industri yang berkaitan.
“Di sebalik nilai sasaran yang ingin dicapai, adalah penting untuk mempromosikan pelancongan dalam negara dengan menawarkan pengalaman bermakna kepada pelancong,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Peluncuran Kempen TMM 2026 di Hangar 6, Kompleks Kejuruteraan Malaysia Airlines Berhad (MAB).
Mengulas lanjut, Anwar memberitahu kerajaan memiliki hala tuju yang jelas bagi sektor pelancongan iaitu mempromosikan tempat percutian dalam negara yang mampan terhadap alam sekitar dan komuniti setempat.
Menurutnya, sektor pelancongan berperanan sebagai penggerak kepada pertumbuhan ekonomi di samping menyediakan pengalaman berharga buat pelancong.
“Malaysia bukan sebuah destinasi yang biasa tetapi unik dengan kepelbagaian bangsa dan budaya,” ujarnya.
Sementara itu, King Sing berkata, TMM 2026 bukan sahaja berkisarkan tentang pelancongan sebaliknya mengenai keramahan rakyat Malaysia yang bersedia menyambut kedatangan pelawat-pelawat asing. – WILAYAHKU