MALAYSIA mengutuk sekeras-kerasnya keputusan rejim zionis Israel untuk memperluas penempatan haram di Bukit Golan, yang secara terang-terangan melanggar integriti wilayah dan kedaulatan Syria.
Menurut Wisma Putra, serangan udara Israel yang menyasarkan pelbagai lokasi di wilayah Syria turut bertentangan dengan prinsip asas Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan undang-undang antarabangsa.
“Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa agar menunaikan tanggungjawab undang-undang dan moral mereka dengan memastikan rejim zionis Israel segera menghentikan semua serangan haram mereka dan bertanggungjawab atas pendudukan haram di tanah Syria.
“Ini selaras dengan Resolusi 497 (1981) Majlis Keselamatan PBB (UNSC),” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Wisma Putra menambah, Malaysia menuntut Israel mematuhi undang-undang antarabangsa serta resolusi-resolusi PBB berkaitan, termasuk Resolusi 79/83 yang diterima pakai pada 3 Disember 2024.
Katanya, Malaysia akan terus menyokong kedaulatan, kemerdekaan dan keutuhan wilayah Syria serta bersedia untuk bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa bagi mencapai keamanan, keselamatan dan kestabilan yang berkekalan di Syria dan rantau Asia Barat yang lebih luas. – WILAYAHKU