Berita

PLUS jangka 2.12 juta kenderaan sempena musim perayaan dan tahun baharu

- Diterbit 17 Disember 2024 2:07 PM MYT

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan lonjakan trafik sebanyak 14 peratus bersempena dengan cuti perayaan Krismas dan hujung tahun bermula 20 Disember 2024 hingga 2 Januari 2025.

PLUS berkata ia mencecah 2.12 juta kenderaan sehari berbanding 1.85 juta pada hari-hari biasa.

“Berikutan dengan jangkaan trafik yang tinggi bersempena musim perayaan akan datang, PLUS menyarankan pengguna lebuh raya supaya merancang perjalanan lebih awal dan mendapatkan jadual perjalanan secara digital sepanjang tempoh tersebut menerusi MyPLUS-TTA.

“Jadual perjalanan digital ini bertujuan untuk memberi kemudahan kepada orang ramai untuk merancang perjalanan di samping membantu mengagihkan tarfik bagi perjalanan yang lebih lancar dan selesa.

“Pada masa sama, ia juga bagi mengelakkan kenderaan terkumpul di satu-satu lokasi di lebuh raya secara serentak dan kemungkinan tereperangkap di dalam kesesakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya pengguna lebuh raya juga boleh mendapatkan maklumat tarfik terkini menerusi aplikasi PLUS, Pembantu Maya (PUTRI), aplikasi X @plustrafik, papan tanda elektronik (VMS) di lokasi-lokasi terpilih atau menerusi saluran stesen radio utama negara.

“Orang ramai juga boleh menghubungi talian PLUSLine di 1800-88-0000 sekiranya ingin mendapatkan bantuan apabila berlaku kecemasan. Kami juga menasihatkan supaya menggunakan aplikasi PLUS, Waze atau Google Maps untuk merancang dan mendapatkan status tarfik semasa pada musim perayaan ini.

“PLUS mengucapkan Selamat Hari Krismas dan Tahun Baharu kepada semua pengguna lebuh raya,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas