Berita

Semakan Daftar Pemilih Tambahan dibuka bermula hari ini

- Diterbit 21 November 2024 7:13 PM MYT

SEMAKAN Daftar Pemilih Tambahan bagi bulan Oktober 2024 sudah dibuka bermula hari ini hingga 20 Disember 2024.

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) dalam satu kenyataan memaklumkan sejumlah 43,196 nama warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu, dalam tempoh 1 Oktober 2024 hingga 31 Oktober 2024.

Dalam masa sama, 10,876 orang pemilih berdaftar telah bertukar bahagian pilihan raya dan 2,101 orang pemilih bertukar kategori pengundi/ status.

“SPR menyeru kepada warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 Oktober 2024 hingga 31 Oktober 2024 dan mana-mana pemilih berdaftar yang telah memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran kategori pengundi/ status untuk menyemak nama mereka dalam DPT BLN10/2024.

“Sekiranya mereka mendapati namanya tidak disenaraikan dalam DPT BLN10/2024, mereka boleh membuat tuntutan dengan mengisi Borang C melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan,” katanya.

Mana-mana pemilih berdaftar di sesuatu bahagian pilihan raya yang membuat semakan dan berhasrat membuat bantahan ke atas kemasukan nama pemilih yang membuat pertukaran ke bahagian pilihan rayanya dengan mengisi Borang D melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan.

Borang C dan Borang D juga boleh dimuat turun dari portal Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my dan hendaklah dikemukakan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri berkenaan untuk membuat serahan dan membayar fi bantahan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja sepanjang tempoh semakan DPT BLN10/2024.

Untuk sebarang pertanyaan mengenai urusan semakan DPT BLN10/2024 ini, orang ramai boleh melayari portal rasmi SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau hubungi SPR di talian 03-8892 7218 atau mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas