Advertorial

Lahir masyarakat Madani berilmu

DARI kiri‚ Caprice‚ Rashvin dan Daren dalam forum pagi yang diadakan bersempena karnival.
- Diterbit 11 November 2024 8:09 PM MYT

DALAM era perkembangan teknologi yang pesat‚ kehadiran Artificial Intelligence (AI) ChatbotChatGPT sebagai model bahasa automatik memberi impak yang besar dalam kehidupan seharian termasuk dalam dunia pendidikan.

ChatGPT kebanyakannya digunakan oleh mahasiswa tidak mengira universiti awam mahupun swasta sebagai alat bantu dalam memudahkan kerja‚ penyediaan maklumat berkaitan tugasan‚ penyediaan bahan penulisan‚ peluasan skop pengetahuan dan sebagainya.

Pengasas Kumpulan Biji-biji Intiatives dan Mereka‚ Rashvin Pal Singh berkata ChatGPT ialah satu program komputer yang direka untuk berbual dengan manusia.

“Program ini beroperasi dengan cara melihat set data besar perbualan yang pernah dimiliki orang dan menggunakan maklumat tersebut untuk menjana respons yang sesuai dan berkaitan dengan perbualan.

“Ia ibarat kawan baik yang bijak dan mampu bantu kita untuk siapkan assignment dengan cepat‚ tepat dan tak pernah malas.

“Selain menyiapkan tugasan‚ dengan teknologi ini juga kita mampu hasilkan Curriculum Vitae (CV) dalam pelbagai bahasa serta mengikut format yang diperlukan dan pastinya akan membantu para pelajar untuk melangkah ke alam pekerjaan‚” katanya yang juga merupakan panel dalam Forum AI & Belia: Pembangunan Ilmu AI dengan Inklusif? Peluang‚ Potensi dan Cabaran.

Sementara itu‚ Pengasas ALPHV dan Developer Kaki‚ Daren Tan berkata teknologi AI juga membantu individu yang tidak kreatif untuk menjadi kreatif dalam masa yang singkat.

“Kalau kita lihat zaman sekarang ramai yang nak jadi pempengaruh tapi mungkin ada sesetengah yang tak tahu nak mula dari mana dan sebagainya.

“Di sinilah kita boleh manfaatkan AI. Kita boleh minta untuk AI sediakan skrip bagi konten video TikTok dalam masa yang ditetapkan. Menerusi ChatGPT‚ ia akan bimbing kita untuk cakap apa pada setiap saat.

“Selain itu‚ teknologi AI ini juga dapat membantu kita untuk menyunting video kerana tak semua orang mempunyai kepakaran dalam perkara tersebut. Sebagai contoh kita rekod podcast selama satu atau dua jam‚ pastinya susah dan memakan masa untuk sunting video tersebut jadi dengan AI ia membantu untuk menyiapkan video tersebut dalam masa singkat‚” ujarnya yang juga merupakan seorang pencipta kandungan digital.

Mengulas lanjut‚ Daren berkata meskipun AI memberi banyak manfaat namun antara cabaran utamanya adalah ia mampu digunakan untuk sindiket penipuan.

“Orang ramai terutama warga emas misalnya antara golongan rentan yang dikatakan mudah terperdaya taktik deepfake‚ lebih-lebih lagi jika melibatkan individu berpengaruh seperti ahli politik‚ ahli perniagaan dan selebriti popular.

“Mereka juga sering menjadi sasaran pelaburan skim untuk meraih imbuhan segera dan tanpa sedar terlibat dalam kegiatan jenayah komersial selepas termakan umpan video palsu individu berpengaruh berkenaan.

“Oleh itu‚ saya nasihatkan untuk berhati-hati dengan setiap apa yang kamu lihat di media sosial ini‚ pastikan semak kesahihan sesuatu berita atau fakta itu terlebih dahulu sebelum sebar atau tekan mana-mana pautan‚” ujarnya.

KARNIVAL GEN-AI

MENYAMBUT baik perkembangan teknologi AI‚ Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menganjurkan Karnival Generasi Ada Idea (GEN-AI) di tapak parkir Gravitas‚ Jalan Baru Prai‚ Pulau Pinang pada 2 November 2024.

Antara aktiviti yang menjadi tumpuan dalam karnival ini ialah sesi Temu Anwar yang menyaksikan Perdana Menteri berinteraksi dengan golongan belia.

“Pelbagai soalan merangkumi isu-isu semasa termasuk keselamatan dalam talian‚ buli siber dan perkembangan teknologi AI dikupas.

“Selain itu‚ Forum AI dan Belia yang bertajuk Pembangunan Ilmu AI dengan inklusif-peluang‚ potensi dan cabaran turut diadakan bertujuan melahirkan masyarakat madani yang berilmu pengetahuan dan berdaya saing serta peka terhadap isu-isu semasa.

“Lain-lain acara dan aktiviti menarik yang dianjurkan termasuk sesi perkongsian Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), pertandingan Muay Thai‚ persembahan buskers‚ konsert mini‚ cabutan bertuah‚ kaunter bayaran saman dan pameran serta jualan‚” katanya.

Tambahnya program yang julung kali diadakan ini juga berjaya menghimpunkan kira-kira 10‚000 pengunjung terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.

“Karnival ini adalah sebagai platform untuk mendekati dan memupuk semangat kemasyarakatan dalam kalangan belia menerusi pelbagai aktiviti interaksi.

“Karnival tersebut juga bagi meningkatkan kesedaran serta kepekaan belia mengenai isu-isu semasa dan menggalakkan gaya hidup sihat melalui aktiviti berorientasikan kesejahteraan juga keceriaan‚” katanya.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang 1‚ Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid; Menteri Dalam Negeri‚ Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Timbalan Menteri Komunikasi‚ Teo Nie Ching; Timbalan Menteri Kewangan‚ Lim Hui Ying; Ketua Setiausaha Negara‚ Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi‚ Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Pengerusi MCMC‚ Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas