KEAHLIAN Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Wilayah Persekutuan digesa ditingkatkan agar setanding dengan keahlian parti itu di Selangor yang kini mempunyai 300,000 ahli.
Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin berkata untuk mencapai itu, peningkatan keahlian PKR harus bermula dari Bandar Tun Razak agar dapat sedia menghadapi Pilihan Raya pada bila-bila masa.
“Saya tengok Wilayah Persekutuan walau ada perubahan peningkatan anggota tetapi masih jauh dari Selangor yang ada 300,000 keahlian. Wilayah Persekutuan baru ada 40,000 ahli.
“Saya punya tugas nak pastikan setiap cabang bukan hanya Bandar Tun Razak kena ada penambahan anggota dan ranting.
“Itu sahaja akan perkukuhkan akar umbi kita apabila bila hadapan Pilihan Raya, tidak kira sama ada bersama Kerajaan Perpaduan atau sebagainya,” katanya semasa berucap dalam Mesyuarat Agong Tahunan Cabang PKR Bandar Tun Razak 2024.
Sementara itu, Azman berkata PKR perlu diperkukuhkan di seluruh negara termasuk di Terengganu dan Sabah.
Beliau berkata di Sabah penting untuk PKR menang banyak kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kerana selepas itu akan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Di Terengganu kita tak nak bertanding tiga kerusi sahaja selepas ini.
“Kalau kita kuat tiga atau empat tahun lagi, Terengganu tidak mustahil boleh jadi tulang belakang kepada PKR,” katanya.
Mengulas lanjut, Azman juga menggesa PKR Bandar Tun Razak mendekati pengundi Melayu agar sokongan kembali kuat pada PRU16.
Beliau berkata, semua pemimpin dan ahli PKR Bandar Tun Razak perlu ‘turun padang’ mendekati pengundi Melayu.
Azman juga menyasarkan hujung tahun ini semua Pusat Daerah Mengundi (PDM) PKR ada penambahan anggota dan ranting
Beliau berkata PKR perlu pastikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi memimpin negara selepas PRU16.
“Keyakinan rakyat terhadap Anwar bertambah kerana ketokohannya.
“Ramai pemimpin luar negara juga nak berjumpa Anwar dan pelaburan juga melimpah masuk ke dalam negara.
Azman juga berterima kasih kepada Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar kerana hadir dalam Mesyuarat Agong Tahunan Cabang PKR Bandar Tun Razak 2024. – WILAYAHKU