Berita

KPM beri perhatian pengisian guru sekolah rendah, menengah

- Diterbit 3 Julai 2024 10:35 AM MYT

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) sentiasa memberi perhatian terhadap pengisian guru di sekolah rendah dan menengah seluruh negara.

Menurut KPM, ia bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran di sekolah dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Tambahnya, urusan pengambilan guru dilaksanakan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) berdasarkan kekosongan jawatan dan keperluan opsyen mata pelajaran yang diperlukan oleh KPM.

“Bagi melantik lebih ramai guru dalam bidang Pendidikan Khas beberapa langkah telah dilaksanakan seperti peluasan kluster mata pelajaran; pengambilan guru juga diperluaskan kepada graduan-graduan berpotensi tinggi dari universiti swasta dan universiti luar negara;.

“Pelantikan guru secara Contract of Service (CoS) dalam kalangan graduan yang tidak mempunyai ikhtisas pendidikan juga akan dilaksanakan; pengambilan calon guru bagi Program Praperkhidmatan PISMP lepasan STPM, STAM dan Program Matrikulasi dalam beberapa bidang pengkhususan untuk keperluan guru sekolah rendah bermula tahun 2024.

“Akhir sekali, penubuhan Jawatankuasa Pengambilan dan Penempatan Guru KPM yang berperanan mengenal pasti perubahan yang berlaku dalam dasar, kurikulum, program dan enrolmen yang memberi implikasi kepada keperluan guru, seterusnya memastikan keseimbangan dalam pengambilan serta penempatan guru sekolah KPM,” katanya dalam jawapan lisan di Parlimen semalam.

KPM berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) meminta KPM menyatakan inisiatif melahirkan lebih ramai guru pendidik khusus dalam pendidikan khas negara di peringkat sekolah rendah dan menengah.

Katanya, KPM sentiasa memastikan keperluan guru mengikut opsyen mata pelajaran mencukupi bagi memastikan setiap murid dapat menjalani proses pembelajaran yang optimum. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas