Selebriti

‘Berumah’ di hotel, Sherry Alhadad rindu meriam buluh

- Diterbit 8 April 2024 10:00 AM MYT

PENGACARA dan pelakon Sherry alhadad mengaku setiap kali pulang beraya di Kuching, Sarawak, hotel menjadi rumah sementaranya.

Bukan tidak mahu tinggal di rumah peninggalan datuk dan nenek sepertimana adik beradik yang lain, cuma Sherry atau nama sebenarnya Shariffah Mariam Syed Abdullah Al Hadad,39, lebih mengutamakan  ahli keluarga yang sudah berkahwin.

“Biasanya hari raya rumah dah penuh dengan ahli keluarga yang beranak-pinak. Iyalah, bukan selalu berkumpul di hari raya. Setahun sekali saja.

“Hotel hanya jadi tempat saya dan  ibu bersiap saja kerana biasanya dari pagi sampai ke malam kami sibuk kunjung mengunjung ke rumah sanak saudara.

“Apa yang seronoknya beraya di Sarawak biasanya pada malam raya kami sudah mula menziarah dari rumah ke rumah.

“Paling menyeronokkan sekali pada malam raya biasanya ada acara lawan dentuman meriam buluh. Itu acara yang memang dinanti-nantikan saban tahun,” ujarnya.

Menurut Sherry, mengikut adat beraya masyarakat  di Sarawak, baju Melayu atau baju kurung akan dipakai selama seminggu.

“Kalau ikut tradisi kami, disebabkan seminggu kena pakai baju kurung, saya akan sediakan tujuh pasang baju raya. Cukup untuk seminggu.

“Tapi bukannya semua baju baharu, ada baju yang saya ‘kitar semula’ dari baju shooting. Memang nampak  meriah sebab mereka akan pakai baju kurung atau Melayu selama seminggu.

“Kalau ke pusat beli-belah pun kita akan nampak semua orang pakai baju raya dan satu lagi yang menariknya, setiap rumah di sana wajib hidangkan kek lapis,” katanya.

Namun kata Sherry, selain mengeratkan silaturrahim sesama ahli keluarga, apa yang lebih penting baginya adalah membahagiakan ibunya di hari raya.

“Setiap tahun, demi menggembirakan ibu yang merindukan ahli keluarga dan kawan-kawannya di Sarawak, kami pasti balik.

“Sama ada beli tiket penerbangan awal atau lambat, tak kisahlah berapa pun harga, sebagai anak yang penting saya nak ibu gembira,” katanya yang mungkin bakal berada di sana selama seminggu.

Juadah kegemaran Sherry di hari raya adalah rendang ayam dan kek lapis. – WILAYAHKU

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas