RUNDINGAN gencatan senjata oleh Hamas dan pengantara untuk menghentikan pertempuran menjelang Ramadan terputus dan tidak menemui kata sepakat.
Menurut Pegawai Kanan Hamas, Bassem Naim, pihaknya sudah membentangkan cadangan untuk perjanjian gencatan senjata kepada pengantara sepanjang dua hari rundingan di Kaherah, Mesir.
“Kami kini sedang menunggu jawapan dari Israel yang menjauhkan diri daripada rundingan ini.
“Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu tidak mahu mencapai persetujuan dan kini berada di gelanggang Amerika Syarikat (AS) untuk mendesak bagi membuat perjanjian,” ujarnya Israel enggan mengulas secara terbuka mengenai rundingan yang bermula pada Isnin (4 Mac).
Selain itu, sumber memberitahu sebelum ini Israel menjauhkan diri kerana Hamas menolak permintaannya untuk memberikan senarai semua tebusan yang masih hidup.
Naim berkata tuntutan itu adalah mustahil tanpa gencatan senjata terlebih dahulu kerana tebusan bertaburan di zon perang dan dipegang oleh kumpulan berasingan.
“Rundingan Kaherah dianggap sebagai cubaan terakhir untuk mencapai gencatan senjata di mana puluhan tebusan akan dibebaskan dan bantuan disalurkan ke Gaza untuk mengelakkan kebuluran menjelang Ramadan yang akan bermula minggu depan,” ujarnya.
Sebelum ini, Menteri Kabinet Perang Israel, Benny Gantz memberi ancaman bahawa tenteranya akan menyerang bandar Rafah semasa bulan Ramadan jika tebusan yang ditahan oleh Hamas tidak dibebaskan.
“Saya katakan ini dengan jelas yang mana Hamas mempunyai pilihan. Mereka boleh menyerah diri, membebaskan tebusan dan dengan cara ini rakyat Gaza boleh menyambut Ramadan,” kata Gantz pada persidangan di Baitulmaqdis.
Dalam masa sama, Sumber Keselamatan Mesir berkata mereka masih berhubung dengan Israel untuk membenarkan rundingan diteruskan tanpa kehadiran delegasi Israel.
Washington yang merupakan sekutu terdekat Israel dan penaja rundingan gencatan senjata berkata perjanjian yang diluluskan Israel sudah pun dibincangkan dan terpulang kepada Hamas untuk menerimanya.
Terdahulu, Presiden AS, Joe Biden menyatakan bahawa Israel bersetuju untuk menghentikan serangannya di Gaza semasa bulan Ramadan sekiranya perjanjian gencatan senjata berjaya dicapai.
“Ramadan akan tiba dan Israel menyatakan mereka tidak akan melakukan aktiviti ketenteraan semasa bulan tersebut untuk memberi masa bagi membebaskan semua tebusan,” kata Biden semasa Program Bual Bicara Late Night with Seth Meyers di rangkaian televisyen NBC.
Sebagai rekod, serangan Israel di Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober lepas membunuh lebih 30,000 orang yang kebanyakannya wanita dan kanak-kanak selain menyebabkan kemusnahan besar-besaran, pemindahan penduduk serta kes kebuluran di wilayah Palestin yang terkepung itu.
Justeru itu, ia menyebabkan 85 peratus penduduk Gaza mengalami kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan manakala 60 peratus infrastruktur turut rosak.
GESAAN GENCATAN SENJATA
TERUS konsisten dalam menentang kekejaman Israel, Malaysia mengulangi gesaan terhadap gencatan senjata serta-merta dan berkekalan selain menegaskan Israel mesti bertanggungjawab atas pertumpahan darah yang tidak berkesudahan dan kemusnahan di Gaza.
Ketika menyampaikan Kenyataan Negara pada sesi ke-55 Sesi Majlis Hak Asasi Manusia di Geneva, Timbalan Menteri Luar Malaysia, Datuk Mohamad Alamin memberitahu sesi peringkat tinggi bahawa mereka yang memilih untuk pertumpahan darah dilanjutkan adalah bersubahat dalam kekejaman Israel.
“Paling tidak yang boleh kita lakukan ialah memastikan Majlis memenuhi mandatnya. Berdiam diri, tidak bertindak dan layanan istimewa daripada Majlis juga mencerminkan persekongkolan!” ujarnya.
Beliau menegaskan bahawa Malaysia akan berdiri bersama mereka yang ditindas dan mengutuk kekejaman sambil memperjuangkan keamanan dan kesejahteraan manusia.
“Malaysia tidak akan mengalah sehingga keadilan ditegakkan, impunity (tidak dikenakan sebarang hukuman) dimansuhkan dan Palestin memperoleh kerusi yang sah sebagai negara anggota penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, beliau berkata Malaysia juga akan terus menyuarakan pandangan kepada dunia agar mengambil tindakan tegas atas kezaliman rejim Zionis di Palestin termasuklah cadangan menggantung keahlian Israel daripada mana-mana pertubuhan antarabangsa yang dianggotainya.
“Penggantungan keahlian Israel dalam mana-mana pertubuhan antarabangsa adalah antara opsyen yang akan disuarakan Malaysia termasuk di platform seperti PBB, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan ASEAN.
“Kita juga akan terus mengambil bahagian seperti apa yang telah difailkan oleh Afrika Selatan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) iaitu memberi pandangan supaya ICJ juga ambil tindakan tegas terhadap Israel yang tidak berperikemanusiaan itu,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat baru-baru ini.
Selain itu, beliau berkata kerajaan juga akan terus menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin melalui sumbangan daripada Tabung Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) kepada agensi kemanusiaan yang terlibat. – WILAYAHKU