Cakna

Jawab kekeliruan usahawan Skim Mikro Kredit YWP

HASNI (tengah) menyampaikan taklimat kepada usahawan di bawah Skim Mikro Kredit YWP baru-baru ini
- Diterbit 5 Mac 2024 11:51 AM MYT

SERAMAI 50 orang usahawan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menyertai Sesi Taklimat dan Pendaftaran Skim Mikro Kredit anjuran Yayasan Wilayah Persekutan (YWP) dengan kerjasama Syarikat Volten International Sdn Bhd.

Eksekutif Seksyen Usahawan Mikro Kredit YWP, Wan Noor Hasni Chek Hasni berkata sesi taklimat itu diadakan untuk memberi penerangan lanjut berhubung sistem pinjaman Skim Mikro Kredit yang disediakan YWP.

“Perkongsian taklimat lebih menekankan soal bayaran di mana YWP memberi penerangan secara terperinci kepada mereka tentang aspek kaedah bayaran, berapa peratus yang perlu dibayar dan sebagainya.

“Kebiasaannya, apabila YWP sudah beri pinjaman, mereka perlu mengetahui bagaimana kaedah pembayaran balik pada setiap bulan selain diberi pendedahan tentang manfaat yang boleh diperoleh melalui skim tersebut,” katanya.

Menurut Hasni, kebiasaannya semasa sesi taklimat, pihak YWP akan diajukan soalan sama ada peminjam akan dikenakan modal suntikan pinjaman tambahan atau tidak.

“Soalan mereka biasanya berkisar jika sudah selesai pembayaran, adakah terdapat tambahan modal suntikan pinjaman misalnya dari RM5,000 ke RM10,000.

“Selain itu, selepas sesi taklimat, YWP akan meminta mereka menandatangani perjanjian sedia ada dan diikuti dengan proses bayaran balik.

“Kebiasaannya, minggu kedua pada setiap bulan, pihak YWP akan menghubungi para usahawan untuk mengetahui status dan perkembangan perniagaan mereka, jika ada apa-apa permasalahan mereka boleh ajukan terus pertanyaan,” jelasnya setakat Februari 2024, YWP merekodkan sebanyak 200 usahawan berdaftar di bawah Skim Mikro Kredit.

Dalam pada itu, Hasni berharap agar sesi taklimat itu akan memberi manfaat dan pendedahan lebih lanjut kepada para usahawan terlibat serta berharap orang ramai mengetahui tentang skim ini.

Terdahulu, Skim Mikro Kredit merupakan skim pinjaman atau pemberian modal perniagaan daripada YWP khusus kepada peniaga dan penjaja berlesen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Kadar pinjaman yang diberikan adalah sehingga RM5,000 dan tidak dikenakan sebarang faedah. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas