“ALHAMDULILLAH saya menang, saya tak jangka kemenangan ini tapi saya tahu peminat dan keluarga saya sentiasa di belakang. Ia menjadi pembakar semangat kepada saya untuk terus berkarya” ujar Meerqeen kepada Wilayahku.
Meerqeen dinobatkan sebagai Bintang Telenovela di Anugerah Telenovela kali kesembilan yang berlangsung di Pusat Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, pada malam Jumaat.
Pada malam kemuncak itu, Meerqeen atau nama sebenarnya Muhammad Shameer Shauqeen Shaiful Izam,23, turut diangkat sebagai Pelakon Lelaki Popular.
Sementara itu, Sophia Albarakbah,31, pula dinobatkan sebagai Ratu Telenovela dan Pelakon Wanita Popular.
“Saya tak sangka dinobatkan sebagai Ratu Telenovela. Saya bersyukur.
“Kemenangan ini juga menunjukkan peminat sentiasa menyokong saya. Saya sangat berterima kasih,” ujarnya.
Apa yang menarik, aktres hebat Erra Fazira pula diangkat sebagai primadona apabila menerima trofi Anugerah Primadona Telenovela.
“Saya agak terkejut dengan kemenangan malam ini (tadi). Sebenarnya, saya tidak boleh datang ke acara ini, tetapi hadir juga selepas diberitahu saya akan menerima Anugerah Primadona Telenovela.
“Sebenarnya, saya fikir, terlalu awal untuk saya menang trofi ini. Bagaimanapun, terima kasih kepada semua pihak atas kepercayaan ini,” ujarnya.
Pasangan pelakon, Kamal Adli dan Uqasha Senrose pula meraih trofi Pasangan Serasi Popular manakala drama Melur Untuk Firdaus diangkat sebagai Telenovela Popular.
Sementara itu, penyanyi dan pelakon, Hazama buat kali pertama diangkat sebagai Pelakon Lelaki Terbaik dan Datin Intan Najuwa sebagai Pelakon Wanita Terbaik.
Turut membawa pulang trofi adalah Alif Satar bagi kategori Artis Versatil Telenovela; Anna Jobling (Artis Sensasi Telenovela); Nelissa Nezam (Artis Bintang Harapan Telenovela); Gambit Saifullah (Artis Prolifik Telenovela) dan Hisyam Hamid (Artis Bintang Pujaan dan Pesona Telenovela).
Turut diumum Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN) sebagai Stesen Penyiar Telenovela Terbanyak dan Datuk Yusof Haslam menerima trofi Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat serta Roslan Madun yang membawa pulang trofi Anugerah Budayawan Sepanjang Hayat. – WILAYAHKU