Labuan

Kanser serviks: Tahap kesedaran masih rendah

NANCY (empat kiri) melepaskan burung merpati sebagai simbolik perasmian
- Diterbit 29 Januari 2024 11:50 AM MYT

KIRA-KIRA 500 wanita di pulau bebas cukai Labuan menerima manfaat saringan kanser serviks melalui ujian HPV DNA secara percuma menerusi KASIH Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Gempur Saringan HPV DNA 2024 yang dilancarkan baru-baru ini.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata seramai 57,000 wanita disasarkan mendapat manfaat pada 2024 melalui Kempen Kesedaran Kanser Reproduktif Wanita (WCaRe) yang dianjur Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

“KPWKM bersama-sama LPPKN seluruh negara telah mengatur pelbagai aktiviti bagi mengimarahkan kempen itu. Antaranya termasuklah saringan ujian HPV DNA percuma kepada wanita layak di semua Klinik Nur Sejahtera LPPKN.

“Ia merangkumi Program Saringan Kanser Serviks dan Subsidi Ujian Mamogram. Jadi, pergilah ke klinik untuk menjalani saringan ini. Selain itu kita juga sentiasa menjalankan program pap smear sekali gus tertumpu kepada golongan wanita,” katanya.

Turut hadir Timbalan Menteri KPWKM, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Dalam pada itu, Nancy turut memaklumkan tahap kesedaran menjalani saringan HPV DNA di Labuan masih rendah iaitu hanya tiga peratus berbanding 21,600 wanita berusia 30 hingga 65 tahun pada tahun sebelumnya.

Menerusi rekod pada 2019 hingga tahun lalu mencatatkan sebanyak 112,524 orang wanita telah menjalani ujian berkenaan dengan pecahan 23,744 daripadanya di Sarawak, diikuti Sabah (12,778) dan Kuala Lumpur (10,932). – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas