KECENDERUNGAN generasi masa kini untuk kembali menyokong golongan agamawan disifatkan sebagai perkembangan yang baik demi kemakmuran negara.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata perkembangan baharu ini amat melegakan kerana penghayatan terhadap amalan Islam semakin baik dalam kalangan ummah.
“Kami para mufti ini berkewajipan untuk menyatakan hukum, jadi apabila ramai dalam kalangan umat Islam yang menyatakan sokongan ini berkemungkinan disebabkan aktiviti dakwah yang telah meningkat dan ramai golongan ulama yang memberi penerangan dan pandangan yang baik,” kata beliau.
Terdahulu, Wan Salim memohon maaf kepada penghibur, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Yayasan Nurjiwa kerana membuat teguran secara terbuka hingga timbul polemik tidak dijangka berikutan cadangan penyanyi nombor satu itu untuk mengadakan konsert dan tarikh penganjuran yang terlalu hampir dengan kehadiran bulan Ramadan.
Bagaimanapun, permohonan maaf itu menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan orang ramai termasuklah golongan muda yang turut menyatakan pendirian menyokong teguran yang telah dibuat Wan Salim.
Rentetan daripada itu, Wan Salim berkata reaksi yang ditunjukkan khususnya oleh orang ramai yang menyokong golongan agamawan berkemungkinan kerana tahap kesedaran masyarakat yang merasa perlu mengikut pandangan yang dikemukakan mufti.
“Sudah menjadi tugas mufti ini adalah menegur dan menasihati. Jadi mereka sifatkan mufti dan ulama sebagai orang yang perlu menasihati masyarakat dari segi hukum syariah.
“Selain itu, setiap teguran yang dikemukakan oleh seseorang ulama atau mufti itu adalah untuk kebaikan bersama,” katanya.
Berbanding keadaan hari ini, Wan Salim berkata pada waktu dahulu ketika zaman kanak-kanak hingga remaja, ramai dalam kalangan masyarakat cenderung untuk memerli, mempersenda bahkan mengherdik golongan ulama disebabkan kurangnya penghayatan terhadap Islam.
“Namun keadaan itu sudah berubah dan masyarakat kini lebih menghormati pandangan ulama walaupun mereka tidak maksum sama sekali.
“Bahkan golongan ulama juga ada kelemahan-kelemahan tertentu, tetapi sekurang-kurangnya kita telah sampaikan kewajipan yang telah diamanahkan,” katanya.
Ditanya mengenai kenyataan maafnya kepada Siti Nurhaliza, Wan Salim menegaskan bahawa tidak salah jika mufti meminta maaf kepada sesiapa sahaja dan tiada manusia yang sempurna selain daripada Rasulullah SAW.
“Siti Nurhaliza ini mempunyai kedudukan dan dipandang tinggi dalam masyarakat kita. Boleh jadi ketika teguran yang saya buat itu menyebabkan beliau terasa hati.
“Saya tidak boleh yakin bahawa apa yang dilafazkan itu adalah betul dan diterima di sisi Allah SWT. Saya menegur hanya berdasarkan pertimbangan ijtihad kerana ia boleh jadi betul dan boleh jadi salah.
“Sebagai mufti mungkin dilihat lebih baik daripada artis tetapi manalah kita tahu, di sisi Allah SWT jadi sebaliknya, justeru tidak salah untuk minta maaf.
“Jadi saya tidak mahu memanjangkan polemik ini dan meminta maaf kerana kita manusia biasa, tidak maksum,” ujar beliau. – WILAYAHKU