RINDU peminat kumpulan lagenda UK’s dan Slam pasti terubat apabila kedua-duanya bakal bergabung dalam Concert UK’Slam Musical yang bakal berlangsung pada 3 Februari ini di Stadium Malawati Shah Alam, Selangor.
Menurut vokalis UK’s, Mohd Azmir Muhammad Yusof, 54, atau Amir Ukays konsert anjuran Bombay Legend Worldwide bersama AmirUKs Entertainment pastinya menjadi berita yang ditunggu-tunggu peminat.
“Idea ini muncul apabila kami inginkan kelainan kerana UK’s dan Slam tak pernah disatukan dalam sebuah konsert. Lagi pula kami bawah satu sifu iaitu Saari Amri. Jadi, tidaklah banyak perbezaan antara kami dari segi genre lagu,” katanya.
Apa yang menarik, konsert ini juga adalah tribute buat komposer hebat Saari Amri yang akan hadir pada malam itu kerana beliau insan yang bertanggungjawab menaikkan nama UK’s dan Slam menerusi lagu-lagu ciptaannya.
“Lagu-lagu ciptaan beliau berjaya membuat peminat-peminat muzik di Malaysia terhibur sehingga nama masih dikenali sehingga tiga dekad. Itulah rahsia kami kekal diminati dari pelbagai peringkat umur.
“Ia satu tempoh yang panjang dan inilah masa untuk kami bergabung dan bersyukur diberikan kesihatan yang baik sehingga masih mampu untuk membuat persembahan secara live,” ujarnya.
Amir juga turut berkongsi rahsia nama UK’s dan Slam malar segar kerana lagu-lagunya bukan sahaja terdiri daripada melodi yang indah bahkan liriknya yang berjaya meruntun hati peminat.
“Diharapkan peminat tidak melepaskan peluang kerana gabungan ini belum tentu dapat dilakukan pada masa depan. Baik UK’s dan Slam, masing-masing mempunyai lagu malar segar yang menjadi siulan sehingga sekarang. Saya dapat bayangkan, semua peminat menyanyi bersama-sama kami nanti.
“Saya pasti, mereka juga mempunyai kisah dan kenangan tersendiri apabila mendengar lagu-lagu kami. Sebenarnya dah dua kali tangguh konsert ini disebabkan masalah yang tak dapat dielakkan,” tambahnya lagi.
Sesiapa yang berminat boleh dapatkan harga tiket berharga bermula RM108 hingga RM588 di laman sesawang ilassotickets.com.
Eksklusif bagi pembaca Wilayahku, anda boleh mendapatkan 10 peratus diskaun bagi harga tiket dengan membawa keratan ini ke 500 lokasi penjualan tiket. Maklumat lanjut, sila layari laman Instagram @wilayahku.com.my. – WILAYAHKU