Selebriti

Magik untuk Siti Nurhaliza

SITI Nurhaliza
- Diterbit 19 Januari 2024 11:00 AM MYT

PADA saat rakan-rakan seperjuangan ‘ditenggelami’ oleh ramai artis baharu yang lebih menyerlah, penyanyi tersohor Datuk Seri Siti Nurhaliza tetap dengan takhta sebagai penyanyi nombor satu Malaysia.

Tidak pernah bermegah atau membangga diri, penyanyi ini mengaku bukan mudah untuk dirinya mengekalkan kecemerlangan setelah hampir tiga dekad berada di tahap sekarang.

“Perkara yang paling sukar sepanjang bergelar anak seni adalah untuk mengekalkan nama dan peminat yang setia. Ia tidak mudah. Bagi saya, para peminat sebenarnya yang buat magik untuk saya.

“Apa yang saya capai hari ini, bukan hanya kerana saya Siti Nurhaliza, sebaliknya merekalah yang buat saya jadi macam ini, sampai ke tahap ini. Kita manusia biasa yang tak sempurna. Saya akui, ada kekurangan serta memang ada yang lagi bagus daripada saya dan sebagainya.

“Tapi apabila peminat punya kesungguhan itu macam magik, buat saya rasa wow! Mereka ini memang betul-betul sayang saya. Dengan izin Allah, disebabkan kasih sayang merekalah saya masih berada dalam industri,” ujarnya.

Dia juga turut mengakui sokongan tersebut juga membuatkannya masih bertahan dan dalam masa yang sama Allah yang paling utama menentukan rezeki buat dirinya.

“Kalau peminat tak happy, susah juga. Semua ini ada bersangkut paut. Jadi apa yang boleh saya katakan, peminat yang luar biasa sebenarnya. Apa yang saya ada hari ini, adalah semangat mereka juga,” katanya.

Namun, tidak semua yang senang hati melihat kejayaan demi kejayaan yang dikecapi penyanyi yang baharu sahaja muncul dengan album Sitism ini.

Terbaharu, tiket Konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza terjual dalam masa dua jam sahaja selepas dibuka. Namun peliknya ada yang kurang senang dengan sambutan luar biasa itu.

“Dalam dunia sekarang, Kalau kita nak layan semua komen atau apa orang cakap, memang takkan buat kerja. Asyik fikir apa yang orang cakap. Sekarang adalah masa kita teruskan buat kerja. Fokus apa yang sepatutnya. Abaikan sahaja perkara yang di luar kawalan kita kerana semua orang boleh berkata apa sahaja dalam media sosial,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas